Gelar UiTM Sebagai ‘Akademi Apartheid’ Tindakan Celupar – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 23 Mei – Mengelar UiTM sebagai ‘Akademi Apartheid’ merupakan tindakan celupar oleh penulis bernama Andrew Sia dalam pandangan kolumnis yang disiarkan MalaysiaKini, tegas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Menurut beliau, legasi warisan benteng terakhir Melayu pada ketika ini dihina kerana digambarkan sebagai sebuah legasi sifat perkauman Melayu yang benci dan zalim kepada kaum lain.

“Menggelar UiTM sebagai sebuah Akademi Apartheid, merupakan keceluparan yang wajib diajar. Kita sedia maklum, Apartheid ini merupakan suatu dasar segregasi kaum yang begitu zalim yakni memuliakan kaum orang putih berbanding orang kulit hitam di Afrika Selatan. Ianya adalah dasar kejam yang dibenci semua orang termasuklah oleh UMNO dan seluruh orang Melayu.

“Apabila tuduhan keji seperti ini dilemparkan kepada Institusi pendidikan kami, apakah tidak boleh hati kami terbakar? Adakah UiTM simbol penindasan kepada kaum lain? Sudah tentu tidak. Kerajaan Malaysia yang majoritinya orang Melayu ini tetap sahaja membenarkan pendidikan ‘tanah asal’ seperti di SJK(C) dan di SJK(T), yang bukan sahaja dibenarkan tapi disokong melalui peruntukkan kerajaan.

“Siapa yang sejak awal membelah perpaduan melalui pendidikan ini? Itu pun kita terima dengan berlapang dada sebab kita tahu kepentingan membela hak budaya. Belum lagi dikira sekolah-sekolah menengah Cina persendirian yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin dalam pada itu mendesak Malaysiakini untuk menurunkan artikel ini dan menggesa Andrew Sia untuk memohon maaf dengan segera.

“Di atas keceluparan ini juga, Pemuda Malaysia menggerakkan seluruh anggota untuk membuat laporan ke atas Malaysiakini dan Andrew.

“Orang Melayu yang tidak terbakar jiwa membaca tuduhan Akademi Apartheid ini, tepuklah dada dan carilah di mana hilangnya jatidiri anda. UiTM, Usaha, Taqwa, Mulia,” tegas beliau.

Akmal dalam pada itu berkata seluruh orang Melayu faham dan hafal sejarah UiTM yang dibina untuk melonjakkan taraf pendidikan dan penguasaan bidang oleh orang Melayu dan Bumiputera.

Malah katanya, institusi ini juga dibangunkan bukan untuk menindas kaum lain tetapi hanyalah untuk membela Bumiputera yang ketinggalan di dalam negara sendiri berlandaskan semangat di mendukung Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Akmal lagi, UiTM adalah medan pendidikan bumiputera yang ada kerana institut pengajian tinggi (IPT) lain terbuka kepada semua kaum.

“Kita merdeka sudah berpuluh tahun tapi fakta yang sebal ialah tetap sahaja Bumiputera masih ketinggalan. Inilah sahaja tempat Bumiputera untuk mengubah destini mereka.

“Apabila wujud desakan untuk menghilangkan semangat UiTM ini, memang kami sensitif dan berhati-hati. Bangsa Melayu adalah bangsa yang pemaaf dan terbuka, tapi kalau hari-hari dihina sebegini, mengapa masih terkejut apabila kami susah menerima cadangan keterbukaan biarpun hanya sedikit,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.