Malaysia-Kyrgyz Ikat Kerjasama, Tandatangan Kenyataan Bersama – Mohamad Hasan
KUALA LUMPUR, 16 Mei – Malaysia dan Republik Kyrgyz telah menandatangani Kenyataan Bersama berkaitan kerjasama pelaburan, ekonomi dan perdagangan, kata Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Republik Kyrgyz, TYT Sadyr Japarov bagi membincangkan isu hubungan dua hala kedua-dua negara.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar bin Ibrahim, seterusnya mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Republik Kyrgyz, TYT Sadyr Japarov.
“Agenda utama dalam pertemuan mereka termasuklah perbincangan mengenai isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang menjadi perhatian Malaysia dan Republik Kyrgyz termasuklah konflik Palestin dan isu Afghanistan,” katanya.
Menurutnya, peluang untuk menerokai bidang kerjasama berpotensi seperti ekonomi, industri halal, pendidikan dan sebagainya turut menjadi topik perbincangan semasa pertemuan tersebut.
“Turut dibincangkan ialah peluang untuk menerokai bidang kerjasama berpotensi antaranya ekonomi, industri halal, pendidikan, pelancongan, budaya, kerjasama antara parlimen, ekonomi digital, tenaga, perlombongan dan penerbangan KL-Bishkek.
“Kedua-dua pemimpin kemudiannya menandatangani Kenyataan Bersama yang berkaitan kerjasama pelaburan, ekonomi dan perdagangan,” katanya.
Pada Rabu media melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Republik Kyrgyz untuk lawatan rasmi selama dua hari.
Ketibaan delegasi Malaysia disambut oleh Pengerusi Menteri-Menteri Kabinet Republik Kyrgyz Akylbek Zhaparov dan Duta Besar Malaysia ke negara itu, Ilham Tuah Illias.
Republik Kyrgyz adalah negara pertama dikunjungi dalam kerangka lawatan Perdana Menteri ke Asia Tengah yang turut meliputi Kazakhstan dan Uzbekistan. – UMNO Online