Najib Bawa Isu Banjir Di Parit Yaani Dan Pembangunan Pendidikan Pada Sidang DUN

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Datuk Mohamad Najib Samuri membangkitkan pelbagai isu yang membelenggu di kawasan di samping penambahbaikan yang boleh dilakukan bagi manfaat rakyat pada persidangan DUN, semalam.

Antara isu yang dibawa beliau banjir di Parit Yaani dan pembangunan pendidikan.

“Alhamdulillah semalam Parit Yaani selesai berbahas. Antara isu yang saya bangkitkan adalah isu banjir di Parit Yaani, mencadangkan agar jadual pembersihan/penyelenggaraan parit di Parit Yaani dilaksanakan sekurang-kurangnya tiga kali setahun.

“Menyatakan projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Simpang Kanan dan Simpang Kiri di Batu Pahat sepatutnya dapat dilaksanakan dalam jangka masa lima ke 10 tahun serta pasca banjir termasuk berkenaan masalah infrastruktur yang rosak akibat banjir.

“Keduanya, keperluan membangunkan sekolah baru di kawasan perumahan Bandar Putra Indah. Mencadangkan agar dibangunkan Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Agama Kerajaan Johor di kawasan tersebut,” katanya menerusi satu hantaran berkongsi penyertaannya pada perbahasan Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor ke-15 di Facebook.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sri Gading dalam pada itu turut sama berharap peruntukan Kerajaan Negeri sebanyak RM5.4 juta sebagaimana dalam Belanjawan Johor 2024 untuk segera dilaksanakan bagi mengatasi masalah kesesakan trafik di Persimpangan Bindu, Jalan Tongkang Pechah.

“Mengucapkan terima kasih kepada pihak Kerajaan yang telah meluluskan peruntukan menaiktaraf Lebuhraya PLUS.

“Saya juga mencadangkan agar diwujudkan Penggerak Belia atau Rakan Muda di setiap kawasan DUN kerana antara fungsinya adalah bagi membantu menyelaras aktiviti atau program Orang Muda (belia) di peringkat komuniti, daerah dan negeri,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.