Konten Palsu Dihasilkan Hanya Untuk Manipulasi Kefahaman Rakyat – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 8 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berharap rakyat untuk tidak mudah terpengaruh dengan konten-konten sensasi di media sosial yang dihasilkan pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata rakyat perlu rasional dalam menilai konten media sosial dan menyemak fakta tersebut di saluran yang betul kerana konten palsu dihasilkan hanya untuk memanipulasikan kefahaman rakyat.

Ahmad Maslan berkata demikian rentetan tular berita palsu di media yang memetik namanya berkenaan harga minyak.

“Viral-viral ini orang suka tengok dan itu yang orang suka terpengaruh. Kenapa kita suka terpengaruh tentang kenyataan-kenyataan yang kita tidak tahu benar?

“Jadi, perkara beginilah yang menyebabkan fikiran ramai rakyat Malaysia ini diganggu terutama oleh pembangkang yang membuatkan fitnah.

“Kadang-kadang mereka suka melihat perkara yang sensasi dan fitnah, dalam masa seminggu dua ini, ada gambar saya mengatakan kerajaan menaikkan harga minyak untuk mengurangkan kemalangan jalan raya. Tak disebut bila saya bercakap, tak disebut di mana saya bercakap. Kenapa tak disebut bila dan di mana?,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Naratif Khas: Dinamika Politik yang disiarkan di RTM malam tadi.

Dalam pada itu beliau turut mengulas penggunaan media sosial yang perlu dimanfaatkan oleh kepimpinan Kerajaan Perpaduan.

“Apabila kita sudah berlawan semuanya perlu dilawannya. Kita perlu menyatakan dengan baik segala perkara,menggunakan segala saluran yang ada. Terutama media sosial dan kita harap pimpinan-pimpinan kerajaan perpanduan ini sentiasa aktif dalam media sosial

“Saya mencuba TikTok, WhatsApp, Instagram, dan juga Facebook. Dan mudah-mudahan mereka ramai mengikuti pandangan-pandangan saya dan juga laporan-laporan yang saya buat,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.