Adakah Rakyat Perlis Terima Kesilapan Rasuah, Libatkan Pejabat Dan Keluarga Pemimpin Negeri? – Razlan

KUALA LUMPUR, 7 Mei – ‘Menjadi tanda tanya kepada saya, adakah rakyat Perlis menerima kesilapan rasuah yang melibatkan pejabat dan keluarga pemimpin nombor satu negeri itu boleh bebas tanpa apa-apa hukuman?

Demikian sindiran yang diberikan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii terhadap kenyataan Timbalan Ketua Bersatu Perlis, Izizam Ibrahim berkenaan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan anak Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli yang turut terkait.

Menurut Razlan kenyataan tersebut seperti mengiyakan kesilapan yang dilakukan oleh mereka.

“Saya petik kata-kata Izizam Ibrahim yang berkata ‘siasatan itu mengajar wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) Perlis yang rata-ratanya masih baharu dalam pentadbiran untuk belajar daripada kesilapan’.

“Jadi benarlah ada kesilapan? Jadi benarlah dakwaan rasuah seperti yang dilaporkan?

“Seperti yang saya sebutkan semalam ini lah akibat daripada politik monopoli atau sesebuah kerajaan mempunyai the ultimate power tanpa check and balance,” katanya.

Razlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Seputeh berkata PN, khususnya Pas dalam isu ini seolah-olah menggunakan ruang seluasnya untuk mentadbir Kerajaan Negeri, sehingga ‘kesilapan’ berlaku pun menjadi kebiasaan.

Beliau juga meluahkan kekhuatiran kerana bukan sahaja berlaku terhadap Kerajaan Negeri Perlis kemungkinan Kerajaan Negeri-Negeri lain di bawah Perikatan Nasional seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu juga melakukan ‘kesilapan’ yang sama.

“Dalam bahasa Melayu, ungkapan “ignorance is not an excuse” bermaksud “kejahilan bukanlah alasan”.

“Ungkapan ini saya gunakan untuk menegaskan bahawa seseorang tidak boleh mengelak dari tanggungjawab hanya kerana mereka tidak mengetahui tentang sesuatu peraturan atau undang-undang yang berlaku.

“Jadi buat pemimpin Perikatan Nasional, jangan gunakan kejahilan sebagai alasan untuk ‘menghalalkan’ kesalahan yang dilakukan,” sindir beliau.

Pada 30 April lalu media melaporkan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 membabitkan isu salah guna kuasa.

Beliau bagaimanapun, dibebaskan kira-kira lapan jam kemudian dengan jaminan SPRM selepas hampir lapan jam diambil keterangan.

Beliau disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berhubung isu salah guna kuasa. Ia membabitkan pelaksanaan projek pembangunan prasarana termasuk membaik pulih, menyelenggara, pembekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.