Isu Rasuah MB Perlis: Jadikan Pengajaran Untuk Rakyat Beri ‘Ultimate Power’ Kepada Parti Tadbir Negeri

KUALA LUMPUR, 6 Mei – Kes isu rasuah Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli seharusnya dijadikan pengajaran kepada rakyat supaya menimbang semula keputusan mereka untuk memberikan ‘ultimate power’ kepada sesebuah parti mentadbir negeri.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, isu yang turut terkait dengan anak kepada Mohd Shukri itu telah mencemarkan nama Kerajaan Negeri Perlis.

“Menteri Besar Perlis mendakwa beliau tidak ditahan reman oleh SPRM berkait siasatan salah guna kuasa baru-baru ini. Namun lain pula kenyataan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang mengesahkan beliau ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 iaitu salah guna kuasa.

“Beliau bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas hampir lapan jam diambil keterangan.Tidak mengapalah sama ada beliau ditahan atau tidak. Isu yang lebih besar sekarang siasatan SPRM terhadap beliau di samping penahanan reman anaknya yang juga menantu Presiden Pas, telah mencemarkan nama Kerajaan Negeri Perlis,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tegasnya, Kerajaan Negeri Perlis pada hari ini bukan lagi sebuah kerajaan yang bersih terutamanya dalam tatacara pentadbiran negeri.

“Kerajaan Pas Perlis hari ini bukan lagi sebuah kerajaan bersih khususnya dalam soal tatacara pentadbiran negeri. Sudahlah anaknya ditahan berkait kes pemalsuan dokumen tuntutan palsu berjumlah RM600,000. Selepas itu Menteri Besar pula disiasat kerana salah guna kuasa.

“Inilah akibatnya apabila sesebuah kerajaan itu ada ‘ultimate power’ (kuasa mutlak) dalam membuat keputusan kerana tiada pembangkang. Dalam kes Perlis, hanya terdapat seorang wakil rakyat pembangkang iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan. Sudah tentu sebagai ADUN pembangkang tunggal di Dewan Legislatif (DUN), sukar untuk memainkan peranan semak dan imbang (check and balance).

“Maka apa yang berlaku di Perlis, seharusnya menjadi pengajaran buat rakyat agar menimbang semula untuk memberikan ‘ultimate power’ kepada sesebuah parti atau gabungan mentadbir negeri,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau mengakui bahawa tidak akan ada mana-mana pihak yang mampu untuk menegur kepincangan sesebuah pentadbiran sekiranya tiada kuasa pembangkang.

“Kuasa mutlak ini jika diberi kepada pihak yang salah, maka terjadilah seperti kerajaan Pas di Perlis, iaitu sebuah kerajaan dengan kuasa ‘politik monopoli’. Tanpa suara pembangkang, siapa yang akan menegur kepincangan pentadbiran kerajaan negeri, khususnya ketika sidang DUN kerana hampir semua wakil rakyat dari blok parti yang sama?

“Ini sudah tentu mewujudkan keadaan yang tidak sihat. Takkanlah ADUN dari parti yang sama berani menegur Menteri Besar? Apa pun ‘nasi sudah menjadi bubur’. Kita tunggu sajalah hasil siasatan SPRM nanti.

“Apa yang pasti di Perlis slogan ‘PN Best’ tidak lagi relevan. Mungkin boleh ditukar menjadi ‘Anak Menantu Best’… tagline ini kedengaran lebih ‘catchy’,” katanya lagi.

Pada 30 April lalu media melaporkan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 membabitkan isu salah guna kuasa.

Beliau bagaimanapun, dibebaskan kira-kira lapan jam kemudian dengan jaminan SPRM selepas hampir lapan jam diambil keterangan.

Beliau disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berhubung isu salah guna kuasa. Ia membabitkan pelaksanaan projek pembangunan prasarana termasuk membaik pulih, menyelenggara, pembekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.