Asas Politik Islam

MENURUT Kamus Arab seperti Lisanul Arab, Siyasah atau Politik bermaksud bertindak terhadap sesuatu dengan sesuatu tindakan yang boleh memperelokkannya.

Kata Ibnu Nujaim pula dalam al-Bahr al-Raiq, Siyasah ialah sesuatu tindakan oleh pemerintah demi maslahah kebaikan yang dilihat olehnya meskipun tiada dalil khusus mengenainya.

Politik Islam pula menurut Ibnu Khaldun ialah membawa seluruh masyarakat berada di atas pandangan syarak dalam perkara maslahat kepentingan Akhirat dan maslahat kepentingan dunia yang kembali pada Akhirat kerana hal ehwal dunia semuanya di sisi Syarak diambil kira berdasarkan kepentingan Akhirat. Maka Siyasah hakikatnya ialah menggantikan pemilik Syarak dalam menjaga agama dan mengurus dunia dengan agama”

Difahami daripada huraian di atas, Politik Islam adalah kerencaman dalam urus tadbir bagi mencapai matlamat melaksanakan maslahah dan kebaikan bagi rakyat dan menolak sebarang mudharat kepada negara dan rakyat.

Ijtihad oleh pemerintah dalam urusan pentadbiran adalah tersangat luas sebagaimana ditunjukkan menerusi ijtihad 4 Khulafa’ Islam yang awal, Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali radiyallahu anhum namun dalam apa sahaja tindakan hendaklah bermatlamatkan kebaikan pada msyarakat dalam kehidupan seharian mereka di dunia yang akhirnya memberi kebaikan pada Akhirat mereka.

Dalil-dalil Syarak daripada al-Quran dan al-Hadis menjadi pedoman umum dalam menentukan prinsip dan asas tindakan namun dalam perkara-perkara yang lebih terperinci yang tiada padanya dalil yang khusus maka neraca dan kayu ukurnya ialah mendatangkan maslahah kebaikan dan menolak mudharat serta kerosakan pada negara dan masyarakat.

Maslahah yang hendak dicapai oleh pemerintah pula tentulah ke arah mencapai lima maslahah yang menjadi objektif pada Syarak iaitu menjaga agama, menjaga nyawa, menjaga akal, menjaga maruah serta keturunan dan menjaga harta.

Sekian


Dato’ Dr Khairuddin Takiri

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.