Projek LRT Impian Peribadi MB Kedah… Kerajaan Negeri Perlu Perhalusi Masalah Lebih Serius – Nazifuddin

KUALA LUMPUR, 5 Mei – Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Nazifuddin Najib berpandangan bahawa Kerajaan Negeri Kedah perlu memperhalusi masalah rakyat yang lebih serius sebelum membuat keputusan untuk membina Transit Aliran Ringan (LRT) di Langkawi.

Ini kerana katanya, cadangan pembinaan infrastruktur tersebut dilihat lebih kepada impian peribadi Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang tidak melihat keseluruhan permasalahan rakyat di negeri tersebut.

“Tiada satu pun rakyat Kedah khususnya dari Pulau Langkawi mengelak dari menerima pembangunan yang mampu merancakkan kembali ekonomi setempat. Ya, kami rakyat Langkawi inginkan kemajuan.

“Tetapi dengan cadangan beliau untuk pembinaan Transit Aliran Ringan ataupun LRT adalah lebih kepada impian peribadi dan tidak melihat keseluruhan akar permasalahan sebenar yang berlaku di pulau yang indah ini.

“Kerajaan Negeri Kedah perlu memperhalusi segala permasalahan menyukarkan rakyat seperti kekerapan kebocoran paip dasar laut yang membawa bekalan air mentah terawat menjadi sangat kritikal,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, permasalahan seperti kesesakan lalu lintas tidak pernah berlaku di Langkawi dan pembinaan LRT ini adalah tidak logik sama sekali.

“Kita akui sistem pengangkutan yang efektif di negara negara maju adalah dengan pembinaan LRT… untuk menghubungkan satu tempat ke satu tempat terutamanya kawasan penduduk yang berkepadatan tinggi atau bandar-bandar besar.

“Infrastruktur tersebut adalah untuk meleraikan sistem trafik yang tinggi pada waktu puncak dan permasalahan begini tidak berlaku di Langkawi maka keperluan LRT adalah tidak wajar sama sekali,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut menyarankan Kerajaan Negeri Kedah merancang dan mengkaji sesuatu projek yang lebih sesuai dengan keadaan semasa rakyat.

“Ini adalah berbeza dengan cadangan projek High speed Rail (HSR) satu masa dahulu yang dijalankan oleh kerajaan UMNO/Barisan Nasional (BN) di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

“Ia adalah pembinaan infrastruktur berimpak tinggi dalam membantu pemulihan dan pertumbuhan ekonomi. Ia juga mampu meningkat dan mengembangkan jaringan ekonomi dari lembah Klang ke koridor selatan.

“Justeru, saya merasakan Kerajaan Negeri Kedah perlu mengkaji dan merancang sesuatu projek yang lebih sesuai melihatkan keadaan semasa kini dan bukannya projek yang tidak menjadi keutamaan buat rakyat setempat,” katanya lagi.

Pada Isnin media melaporkan Kedah merancang membina sistem tren Transit Aliran Ringan (LRT) menggunakan teknologi levitasi magnet di Langkawi.

EXCO Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Dr Haim Hilman Abdullah berkata syarikat Royal Eco Train Development (RETD) dari Korea Selatan dipilih bagi melaksanakan kajian projek yang dijangka siap dalam tempoh enam bulan.

Katanya, RETD bakal bekerjasama bersama Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan Syarikat Q-Plex untuk mengkaji sudut teknikal, geografi dan impak projek itu kepada ekonomi setempat.

Pada Rabu, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook memaklumkan bahawa Kerajaan Kedah masih belum menghantar permohonan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) berhubung pembinaan LRT di Langkawi.

Beliau berkata pengumuman kerajaan negeri baru-baru ini mengenai rancangan LRT tersebut hanyalah memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani dengan sebuah firma Korea Selatan untuk kajian kebolehlaksanaan projek seperti itu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.