Simposium Langkah Pertama Perkasa Suruhanjaya Kanak-Kanak – Azalina

KUALA LUMPUR, 29 April – Simposium antarabangsa yang dianjurkan oleh Kementerian Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi merupakan langkah pertama dilakukan bagi memperkasakan Suruhanjaya Kanak-Kanak.

Menterinya, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ada kemungkinan bahawa Akta Jenayah Seksual Kanak-Kanak akan dikaji semula secara terperinci sebelum ia digubal di peringkat Parlimen.

“Seperti yang mana saya buat dalam ucapan saya hari ini ialah simposium yang pertama yang kita lakukan selepas pindaan kepada Akta SUHAKAM. Pertama sekali fokus kepada Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) yang kerajaan telah berjaya tubuhkan dengan pindaan kepada Akta SUHAKAM. Jadi harapannya, kita akan lantik tiga orang pesuruhjaya. Setakat ini kita ada Doktor Farah sahaja dan dua orang lagi akan dilantik.

“Objektifnya sebelum kita lantik, kita nak tengok sama ada peranan OCC ini dapat kita mainkan peranan yang lebih fokus sebab kita mula dengan lebih kepada penekanan dalam aspek perundangan.

“Seperti yang tersebut dalam parlimen, isu Pesuruhjaya Kanak-Kanak ini… apabila berkenaan dengan kanak-kanak, banyak undang-undang yang juga terlibat selain daripada Akta Kanak-Kanak. Jadi berkemungkinan Akta Jenayah Seksual Kanak-Kanak itu kita akan kaji sebelum lakukan pindaan mungkin pada tahun depan,” katanya pada satu sidang media.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucapan sempena Simposium Antarabangsa Pemerkasaan Suruhanjaya Kanak-Kanak: Memperkukuh Hak Dan Melindungi Masa Depan.

Menurutnya, simposium yang turut menampilkan para jemputan daripada negara luar ini bakal melakukan perbandingan di samping belajar bagaimana mereka menguruskan Suruhanjaya Kanak-Kanak di negara masing-masing.

“Tetapi sebelum membuat kajian secara terperinci, simposium hari ini adalah untuk membuat satu perbandingan dengan negara lain. Kalau kita tengok daripada jemputan, ada yang pernah wujud lebih daripada lima tahun, ada yang betul-betul bebas dan ada yang tidak.

“Dalam ucapan tadi saya tekankan bahawa ia tidak akan bersifat konfrontasi. Kita lebih kepada menilai tentang isu undang-undang yang ada dalam negara kita. Itu yang peranan yang kita nak belajar daripada negara asing.

“Ketiganya saya nak tekan bahawa kita juga akan mendengar dan mengkaji sama ada perlu ke tidak kita tengok langkah ke hadapan kewujudan Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak di peringkat negeri sebagai contohnya,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa isu kanak-kanak ini juga perlulah dipantau secara teliti di peringkat negeri.

“Sebab isu kanak-kanak ini tidak boleh dipusat saja sebab pemantauan juga di peringkat negeri. Seperti yang kita tahu kita ada undang-undang di bawah Federal State List, Federal List, State List dan Procurement List sebab ia ada juga dari segi overlapping Tapi memang sekarang ini bawah persatuan kanak-kanak ini, Kementerian Keluarga pun di bawah kerajaan pusat.

“Tetapi itu tidak mengapalah kita tidak mahu bergerak secara agresif tetapi secara perlahan-lahan. Simposium ini adalah langkah pertama. Kita nak dengar dan lihat cara mereka serta belajar daripada mereka kelebihan dan kekurangan.

“Kita perlu mengkaji kebaikan dan keburukan dalam persediaan mereka… sesetengah negara mereka benar-benar merdeka dan ada yang tidak seratus peratus bebas. Tetapi yang paling penting saya fikir elemen utama ialah kita perlu mengambil kira suara anak-anak kita,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan kebimbangan mengenai kecerdasan buatan (AI) yang dilihat turut menjadi cabaran dalam memperkasa undang-undang berkaitan kanak-kanak.

“Kita sepatutnya mempunyai sistem yang lebih terbuka dan produktif, lebih inklusif. Itulah sebabnya hari ini seperti yang anda tahu penyertaan tentang beberapa kanak-kanak dari bengkel semalam.

“Kami akan cuba menilai daripada pengalaman pesuruhjaya di negara yang berbeza dan memberikan pendedahan kepada kanak-kanak agar mendengar dan juga memberi pandangan mereka ketika majlis penutup esok.

“Akhir sekali, saya fikir kita mesti mengambil kira cabaran AI. Ia agak mencabar sekarang kerana AI. Kita juga mesti menyediakan undang-undang kita apabila melibatkan AI dan teknologi. Itu akan menjadi satu set cabaran di pihak kita sebagai Kerajaan Madani,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.