Berambisi Ganti UMNO… Tapi Apa Pencapaian Membanggakan PN Di Perlis? – Fathul Bari

KUALA LUMPUR, 28 April – Kenyataan Menteri Besar Perlis bahawa Perikatan Nasional (PN) mahu menggantikan UMNO bagi mentadbir negeri dan negara ini perlu disertakan dengan komitmen dan prestasi yang baik, kata Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr Mohd Fathul Bari Mat Jahya.

Kata beliau, tidak salah untuk PN terus berambisi tetapi perlu menunjukkan pencapaian mereka kepada rakyat.

“Semua daripada kita sama ada PN, UMNO ke, layak berambisi untuk berharap… cuma pengharapan ini mesti disesuaikan dengan prestasi. Kalau cakap awak nak ganti tak ada masalah, boleh ganti tetapi tunjuk prestasi PN macam mana.

“Tengok di Perlis apa pencapaian kerajaan negeri, untuk pembangunan ekonomi negeri, memulihkan ekonomi negeri, isu-isu projek-projek di negeri Perlis dan sebagainya.

“Paling penting ambisi mesti datang dengan prestasi buktikan kata boleh buat di Kelantan, Kedah, Terengganu dan Perlis. Buktikan apa yang awak dah buat dalam tempoh setahun lebih memerintah. Itu yang paling penting, kalau tidak rakyat terus akan tertipu,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli bahawa PN Perlis sedia menjadi galang ganti UMNO bagi mentadbir negeri dan negara ini.

Dalam pada itu Mohd Fathul turut sama menyentuh peranan PN di peringkat Pusat yang sewajarnya rasional dan memanfaatkan keberadaan mereka di Parlimen sebagai blok pembangkang untuk semak dan imbang kepada kerajaan.

Menurut beliau sebaliknya PN tidak memperlihatkan perkara tersebut namun hanya memainkan sentimen 3R kepada rakyat.

“Sebab tu pada saya, nak berambisi boleh tetapi biarlah ada sesuatu yang boleh mewajarkan pengharapan itu, jangan bergantung kepada sentimen saja.

“Tolong bawa politik yang sihat, politik idea, politik kritikal, politik membina, memberikan teguran, satu pilihan alternatif kepada kerajaan untuk semak dan imbang yang terbaik tapi kalau cakap boleh ganti, lepas main sentimen 3R.

“Kena tengok hal-hal benda tu apatah lagi di peringkat Persekutuan, kena tengok produktiviti sekarang, tugas pembangkang di Parlimen difungsikan sebaiknya atau tidak, ataupun asyik berbahas soal sentimen saja.

“Akhirnya percayalah, pengajarannya kerajaan-kerajaan sebelum ni pun pertukaran akhirnya menjanjikan macam-macam tapi tak buat terbaik pun,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.