Jemput Profesor Pro-Zionis: Pihak UM Seharusnya Faham Soal Sensitiviti Masyarakat

KUALA LUMPUR, 27 April – Pihak Universiti Malaya (UM) seharusnya memahami soal sensitiviti masyarakat dan tidak sewenang-wenangnya meluluskan program yang menjemput seseorang berideologi Pro-Zionis.

Menerusi satu kenyataan, Kelab UMNOSiswa UM mengecam tindakan Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik apabila menjemput Profesor Pro-Zionis, Bruce Gilley sebagai penceramah untuk program yang dianjurkan jabatan tersebut.

“Kelab UMNOSiswa UM dengan pendirian yang tegas mengecam tindakan Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM apabila menjemput Bruce Gilley sebagai penceramah untuk program anjurannya.

“Tindakan Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM menjemput Bruce Gilley yang merupakan seseorng berideologi Pro-Zionis seolah-olah tidak menjaga sensitiviti masyarakat di Malaysia apatah lagi dunia.

“Jelas lagi apabila Bruce Gilley yang secara terang-terangan dengan bangganya memaparkan bendera bintang daud pada gambar pengepala di laman X miliknya membuktikan beliau seorang Pro-Zionis,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurutnya, Bruce Gilley turut menyampaikan ucapan yang begitu kontroversi seolah-olah menuduh kepimpinan negara menggalakkan ‘holokaus kedua’ terhadap masyarakat Yahudi.

“Tambahan pula apabila Bruce Gilley bertindak memberi ucapan yang begitu kontroversi seolah menuduh kepimpinan negara kita menggalakkan ‘holokaus kedua’ terhadap masyarakat Yahudi. Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia jelas mampu membangkitkan kemarahan seluruh rakyat Malaysia.

“Sebagai universiti yang menduduki tangga pertama di Malaysia, pentadbiran UM seharusnya dengan lebih peka meneliti perkara berkenaan penganjuran sesebuah program di dalam kampus atau menggunakan nama universiti itu sendiri.

“Pihak penganjur sememangnya perlu menitikberatkan soal latar belakang penceramah sebelum menjemput mereka. Ini bukan sahaja penting bagi menjaga nama baik universiti tetapi untuk mengelakkan perkara tidak diingini berlaku,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, pihak UMNOSiswa UM turut mendesak pihak pentadbiran UM untuk menyemak dan menambah baik prosedur serta garis panduan yang lebih ketat mengenai latar belakang individu yang ingin dijemput ke program.

“Umum perlu mengetahui bahawa negara kita mengamalkan kesederhanaan dan sensitiviti amatlah dititikberatkan. Tatkala satu dunia bertindak mengecam tindakan Rejim Zionis Israel dan penyokongnya yang melakukan genosid di tanah Palestin, UM seharusnya faham mengenai soal sensitiviti masyarakat dan bukan sewenang-wenangnya meluluskan program serta menjemput seseorang berideologi Pro-Zionis itu sendiri.

“Kelab UMNOSiswa UM mendesak pihak pentadbiran UM untuk menyemak semula dan menambahbaik prosedur serta garis panduan yang lebih ketat terutamanya berkenaan profil latar belakang mana-mana individu yang dijemput ke sesebuah program.

“Pihak kami juga menyeru semua rakyat Malaysia dan warga UM untuk terus mendoakan saudara kita di Palestin serta tidak berhenti bersolidariti bersama mereka,” katanya lagi.

Pada 16 April, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik UM mengumumkan program Visiting Professor Program 2024 (Program Profesor Pelawat 2024) dan Bruce dijemput untuk menyampaikan syarahan selama mengendalikan bengkel selama tiga hari dari 22 sehingga 24 April lalu.

Pada hari kedua (23 April), ketika menyampaikan syarahan yang bertajuk ‘Will Malaysia Become an Active Middle Power?’, Bruce mengeluarkan kenyataan berbunyi ‘A country whose political leaders advocate a second Holocaust against the Jewish people will never be a serious player in world affairs, and will certainly never be a friend or partner of the United States’.

Kenyataan itu kemudian dikongsikan semula menerusi ciapan di laman X milik peribadinya yang menarik perhatian masyarakat Malaysia terutamanya mahasiswa UM.

Susulan itu, Institut Pengajian Cina UM membatalkan seminar yang sepatutnya berlangsung pada hari berikutnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.