Tidak Boleh Bertutur Bahasa Kebangsaan Untuk Perbaharui Pasport Perlu Jadi ‘Wake Up Call’ – Shah Zanuriman

KUALA LUMPUR, 26 April – Pandangan Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh berhubung tindakan seorang pegawai Imigresen yang tidak memperbaharui pasport seorang warga emas yang tidak boleh bertutur bahasa kebangsaan yang tular baru-baru ini amat bertepatan.

Exco Pemuda UMNO Malaysia, Shah Zanuriman Nuar Paras Khan berkata Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai bahasa kebangsaan dan ianya termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Seharusnya tegas beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Selayang, sebagai sebuah negara yang sudah mencapai usia 66 tahun, tahap penggunaan dan kefasihan bahasa kebangsaan di kalangan warganegara adalah sekurang-kurangnya ditahap fasih bertutur serta menulis.

“Secara logiknya kewarganegaraan seorang itu wajar diragui jika gagal untuk bertutur dalam bahasa kebangsaan.  Maka sepatutnya seorang pegawai imigresen meragui kewarganegaraan seorang individu yang gagal untuk bertutur dalam bahasa kebangsaan.

“Saya menyokong penuh pandangan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr Akmal Saleh yang memuji akan tindakan pegawai tersebut untuk tidak memperbaharui pasport seorang warga emas yang tidak boleh bertutur bahasa kebangsaan yang tular baru-baru ino,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Tegas beliau perkara berkenaan seharusnya menjadi ‘wake up call’ kepada negara kita tentang lemahnya penguasaan bahasa kebangsaan dikalangan warganegara kita sendiri.

“Tiada sebarang alasan yang boleh menjustifikasikan kegagalan menguasai bahasa kebangsaan sedangkan warga asing yang datang ke negara ini untuk berkerja dan belajar boleh menguasainya dalam masa beberapa tahun sahaja.

“Saya juga bersama-sama dengan pandangan Dr Akmal untuk mendesak agar perkara ini di bawa ke persidangan parlimen tak kira dikalangan ahli parlimen kerajaan ataupun pembangkang agar satu undang-undang dapat di buat untuk semua warganegara Malaysia wajib boleh bertutur dengan bahasa kebangsaan,” ujarnya.

Memetik laporan, Isnin lalu beberapa portal media melaporkan kekecewaan seorang lelaki tidak dapat memperbaharui pasport ibunya kerana tidak boleh berbahasa Melayu di UTC Pulau Pinang.

Hantaran lelaki itu tular di media sosial, selepas dia meluahkan rasa kesal dan kecewa apabila berurusan dengan kakitangan Imigresen UTC di Komtar untuk memperbaharui pasport ibu bapanya.

Difahamkan, proses kemas kini pasport bapanya berjalan lancar, tetapi ibu lelaki itu menghadapi masalah kerana tidak fasih berbahasa Melayu.

Walaupun sudah menerangkan, ibunya hanya mampu berbahasa Melayu dengan terhad susulan tidak bersekolah, kakitangan UTC Komtar tetap tidak menerima alasan itu.

Bagaimanapun, tindakan kakitangan itu menerima teguran daripada Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh yang menegah pegawainya menolak sebarang permohonan hanya kerana pelanggan gagal menguasai bahasa kebangsaan.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.