Benarkah Tahanan Dalam Rumah Tiada Dalam Undang-Undang?

1. Saya memetik laporan Sinar Harian bertarikh 22 April 2024 bertajuk ‘Kerajaan bertanggungjawab bukan raja’ – Latheefa Koya” yang memetik kata-kata bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya bahawa hukuman tahanan di rumah tidak pernah wujud dalam sistem perundangan kerana ia tiada dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan atau Akta Penjara.

2. Malah beliau turut menyatakan bahawa ianya bertentangan dengan kedaulatan undang-undang.

3. Sebagai seorang Peguambela Jenayah, saya percaya bahawa mana-mana orang yang telah disabitkan bersalah adalah dikawalselia di bawah Akta Penjara 1995.

4. Saya merujuk kepada tafsiran maksud “Penjara” sebagaimana termaktub dalam seksyen 2 Akta Penjara iaitu:-

“penjara” ertinya mana-mana rumah, bangunan, kepungan atau tempat, atau mana-mana bahagiannya, yang diisytiharkan sebagai sesuatu penjara di bawah seksyen 3 dan hendaklah termasuk tanah dan bangunan di sekitar kepungan penjara dan juga tanah lapang dan lain-lain tanah atau bangunan yang dipunyai atau yang bercantum dengannya dan digunakan oleh banduan;

5. Seksyen 3 Akta Penjara 1995 menyatakan bagaimana sesuatu tempat boleh dijadikan penjara iaitu:-

“Menteri boleh, melalui pemberitahuan dalam Warta, mengisytiharkan mana-mana rumah, bangunan, kepungan atau tempat, atau mana-mana bahagiannya, sebagai suatu penjara bagi maksud Akta ini bagi pemenjaraan atau penahanan orang dalam jagaan sah dan boleh dengan cara yang sama mengisytiharkan bahawa mana-mana penjara sedemikian hendaklah terhenti sebagai suatu penjara bagi maksud Akta ini.

6. Berdasarkan 2 seksyen ini sahaja, mana-mana orang berpendidikan undang-undang boleh faham bahawa semua tempat boleh dijadikan tempat tahanan banduan.

7. Cukup dengan merujuk kepada 2 peruntukan undang-undang ini, rumah Dato’ Sri Najib boleh dijadikan sebagai penjara dan tempat tahanan untuk beliau.

8. Saya nasihatkan semua yang berminat memberi ulasan berkenaan Titah Addendum Yang di-Pertuan Agong ini, supaya faham undang-undang, bukan sekadar mahu bercakap politik semata-mata.

NIK SAIFUL ADLI BURHAN
Peguambela dan Peguamcara,
Ketua Penerangan UMNO Bahagian Ketereh.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.