Perak Sejahtera 2030… Bangunkan Banyak Industri, Gamit Pelabur Sediakan Peluang Pekerjaan – Saarani

BAGAN DATUK, 21 April – Pelan ‘Perak Sejahtera 2030’ membawa tekad untuk membangunkan lebih banyak industri bagi menggamit para pelabur yang pada akhirnya akan menyediakan beribu peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri itu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, beliau gembira dengan pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang akan menjadikan Bagan Datuk sebuah hub untuk menyediakan peluang pekerjaan di Negeri Perak.

“Satu perkara yang saya dengar dengan teliti tadi ialah Datuk Seri Zahid bercakap tentang sebuah organisasi MARA dengan kerjasama China akan menyediakan peluang pengajian tinggi dalam bentuk TVET.

“Saya sangat gembira kerana sekurang-kurangnya saya ada satu cara untuk menyelesaikan masalah yang saya sedang hadapi di Negeri Perak ini.

“Saya Pengerusi Majlis TVET Negeri Perak. Baru-baru ini apabila saya mengadakan mesyuarat, apabila kita mula meninjau pembangunan yang sedang dan akan berlangsung di negeri ini, kita bimbang kalau kita kekurangan ‘man power’ atau pekerja tempatan untuk mengisi peluang-peluang yang sedang dibina,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Parlimen Bagan Datuk, pada Jumaat.

Menurutnya, kawasan Manjung dan sebahagian daripada Bagan Datuk akan dibangunkan sebagai perbandaran maritim yang bakal menyediakan sekurang-kurangnya 55 ribu pekerjaan.

“Minggu lepas hari Isnin sebelum raya Pengurus Kanan Syarikat Chile daripada negara China datang untuk mengesahkan pelaburan mereka yang bernilai RM32 bilion di Proton City, Tanjung Malim. Sepuluh tahun pembinaan dan juga menyediakan sekurang-kurangnya sepuluh ribu peluang pekerjaan.

“Seterusnya di Lumut kita ada projek baharu yang kita namakan ‘Lumut Maritime Industrial City’ atau ringkasnya ‘LuMIC’. Dibangunkan dengan kerjasama dan sokongan daripada Kesatuan Eropah yang telah pun mengeluarkan belanja RM9.5 juta.

“Kita akan bangunkan Manjung dan sebahagian daripada Bagan Datuk sebagai perbandaran maritim Malaysia selama 25 tahun dengan belanja RM72 bilion, 55 ribu peluang pekerjaan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa usaha-usaha pembangunan di Negeri Perak ini adalah bertujuan untuk memajukan semula negeri tersebut setelah dilanda COVID-19 beberapa tahun dahulu.

“Datuk Seri Zahid sebentar tadi ada sebutkan bagaimana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan Bajet 2024 telah mengumumkan satu lagi projek perindustrian yang kita ringkaskan dengan nama ‘KIGIP’ atau Kerian Integrated Green Industrial Park iaitu satu lagi pusat perindustrian yang dibuat secara besar-besaran dengan menggunakan teknologi yang tinggi. Juga menyediakan peluang pekerjaan yang sangat besar.

“Kita dah bangunkan semua ini sebagai perindustrian kerana kita nak majukan semula Negeri Perak ini setelah COVID-19 yang berlaku. Ia telah menyebabkan sekurang-kurangnya 53 ribu orang hilang pekerjaan dan 80 ribu orang usahawan kehilangan peluang perniagaan.

“Sebab itu kita bangunkan Perak dengan pusat perindustrian dengan tujuan untuk menggamit para pelabur datang,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau mengharapkan agar Kerajaan Persekutuan sentiasa memberikan sokongan kepada usaha Kerajaan Negeri Perak untuk membangunkan semula negeri tersebut.

“Saya sebutkan tadi semua nampak sangat ada ‘chemistry’ di antara Kerajaan Negeri Perak dengan Persekutuan. Sudah tentu saya mengharapkan Timbalan Perdana Menteri akan dapat bersama-sama dengan kami kerana kita benar-benar ingin bangunkan kembali Negeri Perak.

“Kita gunakan pelan ‘Perak Sejahtera 2030’ dengan tagline ‘Perak Makmur, Rakyat Sejahtera’. Maksudnya kalau banyak industri kita bangunkan, ramai pelabur datang…banyak peluang pekerjaan maka orang Perak akan dapat bekerja dengan pendapatan tetap yang lumayan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.