Veteran UMNO Mohon Titah Adendum Dilaksana, Elak Kekeliruan Dan Syak Wasangka Rakyat

KUALA LUMPUR, 19 April – Veteran UMNO Malaysia berharap Titah Adendum yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16 membabitkan tahanan di rumah kepada Datuk Seri Najib Razak dilaksanakan.

Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub berkata ini kerana adendum itu adalah hak Agong yang mesti dilaksanakan oleh kerajaan dan penjawat yang diamanahkan.

“Veteran UMNO Malaysia menuntut kerajaan supaya berterus-terang dalam isu Titah Adendum Agong yang bersetuju supaya Najib dikenakan tahanan rumah sepanjang tempoh baki enam tahun hukuman penjaranya setelah mendapat pengampunan di-Raja. Ini bagi mengelak kekeliruan dan syak wasangka rakyat kepada kerajaan.

“Sekiranya benar adanya adendum itu maka Veteran UMNO menuntut supaya ianya dilaksanakan. Adendum itu dibuat pada ketika itu oleh Al-Sultan Abdullah yang ketika itu masih YDPA dan keengganan melaksanakannya atau menyembunyikannya adalah satu pengkhianatan dan penderhakaan kepada YDPA.

“Justeru itu, Veteran mahu kerajaan menjelaskan dengan telus dan berterus terang tanpa menyembunyikan fakta. Kalau ‘ya’ maka Veteran menuntut ianya dilaksanakan. Kalau ‘tidak’ maka perjelaskan apa yang sebenarnya berlaku. Veteran percaya dua orang menteri kabinet yang menjadi ahli kepada Jawatankuasa Pengampunan itu tahu cerita sebenarnya. Mereka mesti berterus terang. Jangan biarkan rakyat berteka-teki yang boleh menjejaskan kredibiliti kerajaan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mustapha dalam pada itu turut sama meluahkan penghargaan kepada Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berbesar hati menandatangani afidavit tersebut.

Jelas beliau, ia sekaligus mampu menepikan tohmahan yang dilemparkan bahawa Ahmad Zahid tidak bersungguh dalam membela Najib Razak.

“Tindakan Ahmad Zahid menandatangani afidavit itu jelas membuktikan kesungguhan dan keikhlasannya untuk membebaskan Najib sekali gus menjawab keraguan ahli UMNO yang selama ini menuduhnya tidak ikhlas untuk membela Najib,” ujar beliau.

Sebelum ini, media melaporkan, Ahmad Zahid disahkan sebagai ‘saksi kritikal’ yang menyokong dakwaan Najib mengenai kewujudan Titah Adendum atau tambahan YDPA ke-16, supaya dia menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.