Titah Adendum: UMNO Tidak Pernah Berhenti Berusaha Bela Najib, Namun Rakyat Perlukan Penjelasan

KUALA LUMPUR, 19 April – Semestinya dengan kewujudan afidavit tambahan dalam Titah Adendum oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 menjadi bukti bahawa UMNO tidak berhenti dalam usahanya membela bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, perkara ini telah menggemparkan negara dan rata-rata rakyat masih menunggu penjelasan tuntas daripada kerajaan.

“Tidak dinafikan bahawa berita ini sedikit sebanyak memberikan kegembiraan buat para penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan ia menjadi saksi bahawa UMNO tidak pernah lupa berjuang untuk menegakkan keadilan beliau.

“Namun dari sudut pandang undang-undang, saya ingin mempersoalkan mengapa kerajaan menyembunyikan perkara ini daripada pengetahuan rakyat? Sedangkan sebelum ini, perkara ini jugak pernah dibangkitkan di Parlimen.

“Sudah semestinya rakyat tertunggu-tunggu penjelasan yang tuntas daripada pihak kerajaan. Lebih-lebih lagi apabila wujud Titah Adendum beberapa bulan selepas Lembaga Pengampunan membuat kenyataan rasmi mengenai isu ini,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, kesahihan kewujudan Titah Adendum tersebut juga masih menjadi tanda tanya memandangkan ianya berlaku sehari sebelum Yang di-Pertuan Agong ke-16 melunaskan tugasnya sebagai ketua negara.

“Persoalannya sejauh manakah kesahihan mengenai wujudnya Titah Adendum ini? Memandangkan ia terjadi sehari sebelum Yang di-Pertuan Agong ke-16 pulang ke Pahang. Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dikatakan menjadi ‘saksi kritikal’ namun tidak ada sesiapa pun boleh mengesahkan samada ia boleh dipakai atau tidak.

“Sekiranya ia wujud dan tidak dilaksanakan mengikut lunas undang-undang sedia ada, ia turut akan dianggap sebagai menghina titah tersebut.

“Saya berharap agar kerajaan mengambil tanggungjawab untuk memberi penjelasan kepada rakyat mengenai isu ini. Jangan biar rakyat nampak seperti undang-undang boleh diperkotak-katikkan tanpa sebarang tindakan selanjutnya,” katanya lagi.

Pada Isnin media melaporkan ‘saksi kritikal’ yang mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Datuk Seri Najib Razak mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, disahkan ialah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Titah Adendum itu menitahkan supaya bekas Perdana Menteri berkenaan menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.