Onn Hafiz Bersyukur, Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Johor Membuahkan Hasil Positif

KUALA LUMPUR, 19 April – Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi bersyukur Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Johor yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam membuahkan banyak perkara positif untuk negeri itu.

Onn Hafiz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan yang teguh menyatakan komitmen untuk membantu Kerajaan Negeri menjayakan usaha-usaha yang berkaitan dengan berkesan.

Jelas Onn Hafiz lagi, mesyuarat tersebut memperincikan tiga agenda utama iaitu berkaitan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Zon Kewangan Khas (SFZ) dan penubuhan Invest Malaysia Facilitation Centre (IMFC).

“Banyak perkara telah disentuh, antaranya soal kedudukan terkini kerangka polisi JS-SEZ dan SFZ, prospek pelabur-pelabur yang telah menyatakan minat, lokasi-lokasi pilihan, sektor-sektor perniagaan, juga insentif serta pakej-pakej pelaburan yang sesuai untuk ditawarkan.

“Semua ini digagaskan dengan matlamat agar rakyat Johor dan Malaysia secara keseluruhannya akan mempunyai lebih banyak peluang pekerjaaan yang berkualiti dan masa depan yang lebih baik, insya-Allah,” katanya dalam satu hantaran di laman sosialnya.

Seterusnya tambah Onn Hafiz lagi, selain itu, penubuhan IMFC sebagai ‘one-facilitation centre’ yang berperanan menyediakan khidmat rundingan serta memudahkan segala urusan perniagaan adalah amat penting, terutamanya di Negeri Johor.

Dalam perkembangan yang sama, Onn Hafiz turut bersyukur kerana Forest City mendapat sokongan penuh Kerajaan Persekutuan melalui Zon Kewangan Khas.

Onn Hafiz juga memetik kata-kata Perdana Menteri bahawa Johor berpotensi besar untuk menjadi Negeri termaju di Malaysia dengan usaha ini.

“Semoga segala rencana ini akan menjadi satu lagi pemangkin untuk negeri ini menjadi sebuah negeri maju menjelang tahun 2030 serta menambahkan sinar kepada Negeri Johor, Insya-Allah,” katanya.

Turut hadir bersama di mesyuarat tersebut yang diadakan di Forest City, Iskandar Puteri adalah Menteri Ekonomi Mohd Rafizi Ramli; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz; dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing;

Hadir sama Penasihat Ekonomi Negeri Johor Datuk Seri Utama Ir. Haji Hasni Mohammad; Setiausaha Kerajaan Johor Tan Sri Datuk Dr. Haji Azmi Rohani; Ahli-Ahli Yang Berhormat; Ketua-Ketua Setiausaha Kerajaan, Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan, serta Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan, Negeri dan Agensi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.