Ziarah Kasih Manifestasi Kebersamaan UMNO Bersama Rakyat, Tak Banyak Alasan
PUTRAJAYA, 18 April – UMNO Bahagian Putrajaya yang diketuai Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor terus menggerakkan Program Ziarah Kasih sebagai manifestasi kebersamaan UMNO yang sentiasa bersama rakyat tanpa mengira keadaan.
Menerusi program yang dikendalikan oleh Biro Kebajikan UMNO Putrajaya, pengerusinya yang juga Ketua Wanita UMNO Putrajaya, Husna Abdul Rahaman telah menyusur akar dan turun ke kawasan bagi meninjau serta menziarah mereka yang dilanda musibah, kesusahan dan sebagainya.
Katanya, biarpun kini Parlimen Putrajaya bukan di bawah UMNO/Barisan Nasional (BN) namun usaha untuk kesejahteraan dan kebajikan masyarakat terus dilaksanakan oleh parti.
“Hal ini bukanlah perkara baharu kerana UMNO Putrajaya adalah ibarat satu keluarga besar dengan sama-sama berusaha untuk saling membantu dan menyokong antara satu sama lain.
“Hal ini telah diterapkan oleh Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan yang tak banyak alasan sejak awal lagi waima ketika UMNO/BN bergelar pembangkang dan tidak menjadi kerajaan hinggalah sekarang.
“Ini kerana UMNO Putrajaya terus berusaha membantu warga tempatan agar dapat hidup selesa, menerima bantuan dan sokongan walaupun bukan musim pilihan raya, atau apa-apa musim pun,” katanya kepada UMNO Online.
Terdahulu beliau telah berkesempatan menziarahi Abdul Rahman iaitu suami kepada Ahli Jawatankuasa Wanita UMNO Putrajaya, Nor Azura Binti Yahaya yang telah di timpa kemalangan baru-baru ini di Presint 8, di sini.
Pada penghujung Ramadan lalu, Husna bersama anggota jawatankuasanya juga telah berkunjung ke Wad Perubatan Endokrin di Hospital Putrajaya menerusi Program Ziarah kasih di samping menyampaikan bantuan kepada mereka yang dirawat dan tidak dapat pulang berhari raya.
Jelas Husna, menerusi program tersebut diharapkan bantuan yang dihulur akan dapat meringankan beban yang ditanggung serta mempunyai semangat lebih kental untuk segera sembuh atau keluar dari kesusahan. – UMNO Online