Pindaan Perlembagaan PPBM Tidak Ubah Apa-Apa Kedudukan Ahli Parlimen Mereka

KUALA LUMPUR, 17 April – Keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) meluluskan pindaan perlembagaan parti PPBM sebenarnya tidak mengubah apa-apa kedudukan ahli parlimen mereka yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Gulam Muszaffar berkata, kelompongan Akta Anti Lompat Parti adalah disebabkan oleh PPBM yang meminta ahli-ahli parlimen dari UMNO dan PKR sebagai ‘team muhajirin’ untuk melompat.

“Ramai minta pandangan saya berhubung keputusan ROS meluluskan pindaan perlembagaan parti PPBM yang berkuatkuasa mulai 1 April 2024. Sebenarnya saya tidak mahu ambil kisah sebab ini bukan masalah parti saya. Ini adalah masalah dalaman PPBM yang tidak pandai menjaga ahli parlimen atau dewan undangan negeri (DUN) sebelum ini.

“Kelompongan Akta Anti Lompat Parti ini juga disebabkan oleh PPBM dulu ‘galak’ meminta ahli-ahli parlimen dari UMNO dan PKR yang kononnya sebagai ‘team muhajirin’ melompat. Senang cerita ibarat senjata makan tuan buat mereka.

“Sama ada keputusan ROS boleh bersifat retrospektif atau tidak, biarlah pihak mahkamah tentukan berhubung definisi dikeluarkan mereka, jika ada pihak yang tidak setuju dengan tindakan memecat atau desakan mengosongkan kerusi Parlimen/DUN sedang disandang,” katanya menerusi satu kenyataan.

Jelasnya, apabila ahli parlimen berada di dalam Dewan Rakyat, mereka tidak terikat dengan perlembagaan parti berdasarkan Perkara 63, Perlembagaan Persekutuan.

“Tetapi saya lebih suka untuk berhujah berhubung Perkara 63, Perlembagaan Persekutuan iaitu ‘Keistimewaan Parlimen’ yang menyatakan ahli parlimen tidak boleh dibawa ke mahkamah sekiranya menyatakan pendirian atau menzahirkan undi di dalam majlis parlimen mahupun jawatankuasanya.

“Dalam kefahaman saya, ini bermaksud apabila ahli parlimen berada di dalam Dewan Rakyat mereka tidak terikat dengan perlembagaan partinya kerana Perlembagaan Persekutuan adalah bersifat ‘supreme’ dan akan ‘supercede’ perlembagaan parti ahli parlimen masing-masing,” katanya.

Menurutnya, perlembagaan PPBM yang diluluskan oleh ROS itu hanya boleh dilaksanakan sekiranya kedua-dua pihak menandatangani persetujuan bersama antara parti dengan ahli parlimen/DUN seperti yang dilakukan oleh UMNO sebelum ini.

“Bagi saya keputusan ROS sebenarnya tidak merubah apa-apa kedudukan ahli parlimen/DUN PPBM yang menyatakan sokongan kepada PMX. Ianya hanya boleh dilaksanakan sekiranya kedua-dua pihak menandatangai persetujuan bersama antara parti dengan ahli parlimen/DUN seperti UMNO lakukan sebelum ini kepada calon-calon yang diwajibkan menandatangan akujanji.

“Ini bermakna UMNO lebih bijak dari PPBM untuk mengambil langkah preventif dan proaktif agar ahli parlimen/DUNnya tidak berpeluang untuk menyatakan sokongan kepada pihak lain. Akhir kata, dalam soal ini PPBM terjerat dan terbelit dengan tindakan mereka sendiri.

“Silap-silap ia akan memalukan kerana tafsiran ROS yang dibuat oleh mereka sendiri akan mengundang kekalahan di mahkamah malah tidak boleh digunakan pakai oleh Speaker Dewan Rakyat kelak,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.