Tahun Baharu Tamil, Hari Vishu Diharap Bawa Permulaan Hidup Harmoni – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 15 April – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berharap Tahun Baharu Tamil dan Hari Vishu yang disambut masyarakat Tamil dan Malayali hari ini akan membawa permulaan hidup harmoni, kesihatan baik dan rezeki yang melimpah-ruah buat semua yang menyambutnya.

Menerusi hantaran dalam laman Facebook beliau, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata kedua-dua sambutan itu mempunyai keunikan budaya dan sejarahnya yang tersendiri.

“Jadikan semangat kebersamaan yang wujud ini untuk kita terus memperkukuh asas perpaduan dalam kalangan kita yang kaya dengan pelbagai latar belakang dan budaya selari dengan citarasa Malaysia MADANI,” katanya.

Beliau turut mengucapkan Selamat Tahun Baharu Tamil dan Hari Vishu kepada seluruh masyarakat Tamil dan Malayali di Malaysia.

Tahun Baharu Tamil ialah hari pertama dalam tahun mengikut kalendar Tamil, manakala Hari Vishu merupakan sambutan tahun baharu bagi kumpulan etnik Malayali dan disambut pada hari pertama bulan Medam dalam kalendar Malayali. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.