Isu Kalimah Allah: Pas/PN Jangan Ambil Kesempatan, Buat Modal Politik – Syed Mohd Johan

KUALA LUMPUR, 6 April – Pas/Perikatan Nasional (PN) diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan dengan menjadikan isu kalimah Allah sebagai modal politik mereka.

Timbalan Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, kenyataan Pemuda Pas yang kononnya bersolidariti bersama Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Saleh dilihat bercanggah dengan pendirian mereka sebelum ini.

“Kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden jelas dilihat bercanggah dengan pendirian mereka sebelum ini. Dahulu, mereka berpendirian untuk tidak ikut campur dalam hal ini.

“Tetapi apabila Dr Akmal Saleh ditahan untuk memberikan keterangan di Sabah semalam, mereka dilihat seolah-olah mahu bersolidariti dengan beliau. Perkara ini menampakkan seperti mereka mahu ‘menunggang’ isu ini,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, konsep Islam yang dibawa oleh Pas/PN seperti samar-samar apabila UMNO yang paling terkehadapan dalam membela kalimah suci tersebut.

“Ketika isu ini hangat diperkatakan, saya lihat hanya UMNO sahaja yang lantang ke depan untuk mempertahankannya. Sedangkan Pas dan PN yang kononnya mempertahankan Islam hanya diam… sembunyikan diri.

“Afnan Hamimi juga bertanya ke mana Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pergi apabila Dr Akmal ditahan. Jawapan saya mudah, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) baru-baru ini telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka menyokong usaha beliau untuk menegakkan kalimah suci Allah tersebut.

“Adakah mereka tidak ikut cakna dengan perkembangan semasa ataupun mereka sengaja menimbulkan polemik bagi mencetuskan kemarahan rakyat?” soalnya lagi.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Setar turut mengingatkan para pemimpin Pas dan PN untuk berhenti menunggang isu ini.

“Disebabkan silap Pas dan PN inilah yang menyebabkan akhirnya Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia ditahan untuk siasatan. Inilah yang terjadi apabila agama dihina dan umat berpecah belah kerana kepentingan politik sendiri.

“Sudah-sudahlah menunggang isu yang kamu semua sebenarnya langsung tidak kisahkan. Jangan menangguk di air yang keruh. Biar UMNO teruskan perjuangan kami untuk membela agama Islam, bangsa dan raja-raja Melayu,” katanya lagi.

Pada Jumaat media melaporkan Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden kesal dengan penahanan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh untuk memberi keterangan.

Beliau juga turut mempersoalkan keberadaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sedangkan parti itu telah memberikan ketegasan dalam memperjuangkan isu Melayu-Islam.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh ditahan untuk siasatan di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Beliau berkata, Exco Negeri Melaka itu ditahan sepasukan polis sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa, Kota Kinabalu, Sabah susulan dua laporan polis terhadapnya berhubung isu stoking tertera kalimah Allah. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.