UMNO Minta Penasihat Undang-undang Parti Bantu Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 5 April – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki telah meminta peguam dan Penasihat Undang-Undang UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun untuk membantu Ketua Pemuda, Dr Akmal Saleh.

Ujarnya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya, beliau telah dihubungi oleh Dr Akmal ketika sedang ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, pagi ini.

“Saya telah menghubungi adinda saya Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Dr Akmal Saleh yang kini sedang ditahan pagi tadi untuk proses mengambil keterangan di IPD Kota Kinabalu.

“Alhamdulillah beliau berada dalam keadaan baik dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis yang menjalankan tugas. Menurut Dr Akmal beliau sepatutnya dijadualkan dipanggil memberikan keterangan di Kuala Lumpur esok, namun ditahan setibanya di Lapangan Terbang Kota Kinabalu.

“Setakat perbualan telefon dengan beliau sebentar tadi, dimaklumkan insya-Allah beliau akan dibebaskan selepas segala keterangan selesai diambil oleh pihak polis,” katanya yang kini sedang menunaikan umrah di Mekah.

Terdahulu dilaporkan Dr Akmal telah memberi keterangan lebih dua jam di IPD Kota Kinabalu. Beliau berkata keterangan diberikan antaranya mengenai laporan polis berkait ceramah beliau di Kelantan baru-baru ini, dan tidak berkaitan dengan sebarang aktiviti atau perkara di Sabah. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.