Muhasabah Diri Di Bulan Ramadan, Berbelanja Dengan Sepatutnya

KUALA LUMPUR, 5 April – Ramadan wajar dijadikan sebagai medan terbaik untuk menjadi hamba Allah yang bersyukur dengan rezeki diberikan, kata Penasihat SLR Institute, Datuk Budiman Mohd Zohdi.

Tambahan pula dengan Syawal yang bakal menjelma, beliau berkata persediaan raya ini perlu dilakukan dengan rasional bagi memastikan tidak berlakunya pembelian secara berlebihan.

“Saya harapkan bahawa sebulan kita berpuasa dengan konteks kemenangan dan ada malam Lailatul Qadar. Jangan rosakkannya dengan kesilapan dalam berbelanja.

“Ustaz ajar kita bahawa Ramadan itu realignment of life iaitu membetul, menambah baik yang tidak sepatutnya. Jadi jangan terlalu tiba-tiba kita rosakkan asas yang telah kita buat.

“Cuma hari ini paling mudah saya nak sebut bahawa raya ini berbelanjalah sebanyak mungkin. Asalkan jangan mengganggu status kewangan, jangan sebab akibat berbelanja raya sampaikan bajet kesihatan tidak ada.

“Jangan sebab akibat untuk berbelanja akhirnya nak bagi dekat emak duit bulan depan tak cukup tapi pengalaman saya selalu cakap kepada anak muda kita jangan buat pembelian yang silap dari sumber kewangan yang tak cukup,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program ‘HitamPutihKelabu: Alamak Raya Lagi, Belanja Lagi’ yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online.

Budiman dalam pada itu turut berkongsi pengalamannya ketika di usia muda yang pada ketika itu hanya mempunyai pendapatan kecil namun masih mampu menyambut raya dengan kadar kemampuan tersebut.

“Sebab pengalaman kita berhari raya ni bukan pertama kali. Kalau macam saya dah awal 50-an, maknanya daripada kecil kita dah rasa hari raya.

“Ketika merantau Kuala Lumpur awal 90-an saya berhari raya dengan gaji RM380 tetap raya juga… saya datang jadi rider kemudian jadi anggota kerajaan kita raya juga tapi dengan nilai yang sangat berbeza,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.