Kerjasama Erat Dengan Pusat Penting, Pastikan Perancangan Negeri Di Landasan Tepat – Onn Hafiz

KUALA LUMPUR, 5 April – Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata kerjasama yang erat antara Kerajaan Persekutuan dan negeri adalah satu eleman yang cukup penting.

Dalam satu hantaran di laman akaun X, Onn Hafiz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor berkata ia bagi memastikan segala perancangan berada di landasan yang tepat.

“Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri adalah elemen penting, dalam memastikan segala perancangan ekonomi serta pembangunan negeri berada di landasan tepat, seiring hasrat menjadikan Johor sebuah negeri maju menjelang tahun 2030. Insya-Allah,” katanya.

Dalam statusnya, Onn berkongsi perasaan syukur kerana telah hadir ke Mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2024 bertempat di Kementerian Kewangan (MOF), Putrajaya.

Mesyuarat turut dihadiri Menteri Besar dan Ketua Menteri atau wakil dari setiap negeri.

Tambah Onn Hafiz, mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menyentuh soal pengurusan kewangan dan pembangunan negara, termasuk hal ehwal perbelanjaan Kerajaan Negeri.

“Projek-projek berimpak tinggi seperti di Johor juga dibincangkan, dan saya yakin pengurusan yang cekap daripada Kementerian Kewangan mampu membantu kami di peringkat Kerajaan Negeri dalam merealisasikan segala pembangunan, demi keselesaan rakyat Johor,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.