Perkukuh Perpaduan, Buktikan UMNO Dan Masyarakat Berpisah Tiada – Awang Aslee

BEAUFORT, 4 April – Ahli-ahli UMNO perlu sentiasa mengaktifkan gerak kerja dan berdamping dengan masyarakat bagi memastikan kesinambungan perjuangan berterusan.

Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat berkata, perpaduan akan dapat diperkukuh dengan adanya jalinan antara pemimpin dan masyarakat.

“Perkukuhkanlah perpaduan di samping menjalinkan hubungan silaturrahim bersama masyarakat dan pemimpin pelbagai peringkat,” katanya.

Menurut beliau, pelbagai pendekatan dan program boleh dilakukan oleh komuniti setempat untuk memperkukuhkan semangat perpaduan serta kerjasama yang antaranya ialah dengan mengambil keberkatan bulan Ramadan iaitu melalui iftar dan solat berjemaah.

“Ramadan ini adalah ruang terbaik ke arah melahirkan masyarakat yang harmoni dan dapat memperkukuh perpaduan,” katanya selepas majlis iftar dan solat Maghrib di Masjid Nur Ikram, Tanjung Aru, kelmarin.

Dalam program tersebut beliau berkesempatan menyampaikan sumbangan untuk golongan asnaf seramai 20 orang yang membabitkan komuniti setempat.

Sehubungan itu, Awang Aslee merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada semua yang terlibat termasuklah ahli jawatankuasa UMNO yang bersama-sama beliau.

“Ribuan terima kasih dipanjatkan kepada Jamaludin Mahmud selaku Pengerusi Masjid Nur Ikram merangkap Pengerusi JKKK Kampung Tanjung Aru dan jawatankuasanya kerana sudi menerima kami untuk program ini,” katanya.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Timbalan Ketua UMNO bahagian, Ustaz Jaludin Kadir merangkap Pegawai Perlimen Beaufort; Naib Ketua UMNO bahagian, Md Rashid Mathon; Ketua Wanita, Juriffah Safflie; Ketua Puteri bahagian, Munira Sarrie serta masyarakat setempat.

Sejurus program tersebut, Awang Aslee bersama barisan kepimpinan jawatankuasa UMNO bahagian terbabit bergegas ke Masjid Kampung Siaun di PDM Kilugus untuk bersama-sama komuniti setempat berjemaah solat Isyak, terawih dan moreh. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.