RUU Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023 Lulus, Azalina Rakam Ucapan Terima Kasih

KUALA LUMPUR, 2 April – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said merakamkan jutaan penghargaan kepada semua ahli Parlimen dan pihak-pihak yang telah menyumbang kepada kelulusan Rang Undang-udang (RUU) Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata, dari Dewan Rakyat hingga Dewan Negara, RUU ini telah dibentangkan dan dibahaskan dengan sebaik-baiknya.

“Alhamdulillah, sejarah berjaya dilakarkan. Sepertimana saya sebut sebelum ini, penggubalan RUU ini mencerminkan usaha Malaysia dalam menegakkan hak dan kepentingan negara serta memastikan kekebalan Malaysia dilindungi dalam apa-apa prosiding di mahkamah.

“Dengan penggubalan RUU ini, kerajaan berharap negara-negara asing akan turut memberikan layanan salingan dalam menjamin kekebalan Malaysia sekiranya terdapat tindakan mahkamah yang dimulakan terhadap Malaysia di negara-negara asing itu.

“Saya percaya rang undang-undang ini dapat bertindak sebagai perisai yang dapat melindungi kekebalan sesebuah negara berdaulat termasuklah negara kita daripada tindakan oleh mana-mana pihak berniat jahat pada masa akan datang,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Dilaporkan, semalam Dewan Negara meluluskan RUU Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023.

Menurut Azalina, rang undang-undang yang mempunyai 33 Fasal itu juga telah rujuk dan memperoleh persetujuan Majlis Raja-Raja Melayu pada 24 Okt 2023 selaras dengan Fasal (5) Perkara 159 yang dibaca bersama dengan Fasal (4) Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan.

Rang undang-undang itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas 15 senator mengambil bahagian pada sesi perbahasan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.