RUU Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing Bukti Usaha Kerajaan Madani Tegakkan Hak Negara – Azalina

KUALA LUMPUR, 1 April – Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing oleh Kerajaan Madani mencerminkan usaha Malaysia dalam menegakkan hak dan kepentingan negara serta memastikan kekebalan Malaysia dilindungi dalam apa-apa prosiding di mahkamah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata demikian ketika membaca Rang Undang-Undang (RUU) Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023 Teks Bacaan Kali Yang Kedua di Dewan Negara hari ini.

Menurut Azalina dengan penggubalan RUU ini, kerajaan berharap negara-negara asing akan turut memberikan layanan salingan dalam menjamin kekebalan Malaysia sekiranya terdapat tindakan mahkamah yang dimulakan terhadap Malaysia di negara-negara asing itu.

“Saya percaya RUU ini dapat bertindak sebagai perisai yang dapat melindungi kekebalan sesebuah negara berdaulat termasuklah negara kita daripada tindakan oleh mana-mana pihak berniat jahat pada masa akan datang,” katanya.

Kata Azalina lagi, kes tuntutan Sulu merupakan satu kes luar biasa, melibatkan aspek kekebalan negara yang telah menyedarkan Malaysia tentang keperluan dan kepentingan untuk mewujudkan satu undang-undang khas yang dapat memberikan perlindungan kekebalan kepada Malaysia daripada tindakan dan prosiding di mahkamah negara asing.

“Tanggungjawab memelihara kekebalan negara bukan tanggungjawab Kerajaan semata-mata tetapi adalah tanggungjawab dan amanah setiap rakyat Malaysia termasuk Ahli-Ahli Yang Berhormat yang berada dalam dewan yang mulia ini.

“Antara persoalan yang penting adalah apakah undang-undang sedia ada yang ada di negara kita yang boleh digunakan bagi memelihara hak kekebalan Malaysia serta melindungi asetnya sekiranya perkara atau agenda pihak berkepentingan sebegini berulang?

“Adakah ianya memadai bagi negara kita hanya bergantung semata-mata pada undang-undang adat antarabangsa yang tidak dikodifikasikan sehingga kini sedangkan negara-negara seperti United Kingdom, Kanada dan Singapura telah lama berbuat demikian?” kata beliau.

Tambah Azalina, persoalan-persoalan ini yang telah mengerakkan Kerajaan Madani untuk mengenal pasti satu hala tuju dalam menangani perkara tersebut.

“Kerajaan ini tidak akan sama sekali kompromi perkara berhubung dengan kekebalan negara. Dalam hal ini, satu RUU Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing telah digubal oleh kerajaan MADANI dengan membuat rujukan kepada United Nations Convention on the Jurisdictional Immunity of States and Their Property 2004 (“Konvensyen 4 2004”) yang memberi penekanan kepada “restrictive immunity”.

“Selain itu, Kerajaan juga telah merujuk perundangan berkaitan kekebalan negara asing di beberapa negara seperti United Kingdom, Singapura, Kanada dan China.

“RUU yang ada pada hari ini juga telah dirujuk dan memperoleh persetujuan Majlis Raja-Raja Melayu pada 24 Oktober 2023 selaras dengan fasal (5) perkara 159 yang dibaca bersama dengan fasal (4) perkara 38 Perlembagaan Persekutuan,” ujar beliau lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.