Jangan Politikkan Pulau Labuan, Lebih Baik Fokus Untuk Bantu Rakyat – Mohd Rafi

LABUAN, 1 April – UMNO Labuan menggesa para pemimpin politik di Sabah agar tidak mempolitikkan isu bagi mengembalikan pulau bebas cukai itu kepada kerajaan negeri berkenaan.

Ketua UMNO Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan berkata, tiada keperluan untuk memperdebatkan isu berkenaan kerana penduduk pulau bebas cukai itu kini menikmati kehidupan selesa dan ia dapat dilihat dengan pertumbuhan ekonomi yang ketara sejak pentadbirannya dipindahkan kepada kerajaan Persekutuan pada tahun 1984.

Beliau berkata, sektor minyak dan gas serta kewangan Labuan yang berkembang pesat ditambah pula dengan penubuhan pemacu ekonomi utama seperti Petronas Methanol serta institusi pendidikan tinggi telah banyak menyumbang kepada kemakmuran pulau itu sejak empat dekad lalu.

“Adalah penting untuk tidak mempolitikkan status Labuan kerana sektor ekonominya lebih berkembang maju berbanding banyak daerah di Sabah.

“Adalah lebih baik pemimpin politik di Sabah ketika ini memfokuskan kepada isu-isu yang membelenggu kehidupan rakyat terutamanya penyediaan prasarana seperti bekalan air bersih, elektrik dan sistem perhubungan jalan raya yang menghantui kehidupan rakyat di negeri itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa bersama kepimpinan lima peringkat UMNO Bahagian Labuan di Desa Tunas Hijau dekat sini, kelmarin.

Mohd Rafi yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, isu seperti gangguan bekalan air dan elektrik serta kelembapan ekonomi tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengembalikan Labuan kepada Sabah.

“Ini kerana kerana Sabah turut berdepan masalah yang sama malah yang lebih serius lapan daerah di Sabah diletakkan pada status daerah termiskin yang seharusnya diberikan tumpuan oleh pemimpin kerajaan negeri terbabit iaitu bagaimana mahu mengeluarkan Sabah sebagai antara negeri yang termiskin di Malaysia.”

Mohd Rafi menambah, Labuan berdepan kesukaran ekonomi mulai 2018 disebabkan beberapa faktor dan antaranya ialah kejatuhan harga minyak mentah yang menyebabkan syarikat multinasional mengecilkan saiz operasi serta mengurangkan jumlah pekerja.

“Pandemik COVID-19 memburukkan lagi keadaan ditambah pula dengan dasar baharu kastam berkaitan rokok yang memberi kesan kepada ekonomi pulau ini,” katanya.

Sebelum itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata, Labuan memainkan peranan penting dalam rangka kerja Wilayah Persekutuan dan cadangan untuk mengembalikannya kepada mana-mana entiti lain adalah tidak relevan.

Isu itu dibangkitkan pada sidang Parlimen baru-baru dalam soalan mengenai hasrat pengembalian Labuan kepada Sabah.

Ini didorong oleh kebimbangan mengenai pengurusan keperluan penting Labuan seperti bekalan air dan elektrik serta entiti ekonomi utamanya Asian Supply Base Sdn Bhd (ASB) kini berada di bawah tadbir urus Kerajaan Negeri Sabah.

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.