Jalaluddin Sifatkan Era Baharu Di Negeri Sembilan, Permuafakatan Kian Kukuh

KUALA LUMPUR, 1 April – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata era baharu Kerajaan Perpaduan di negeri berkenaan bukan sahaja dirasai oleh UMNO/Barisan Nasional (BN) malah turut memberi kesan kepada parti lain.

Menurut beliau perkongsian dua parti yang sekian lama ‘bermusuh’ dalam gelanggang politik, namun pasca Pilihan raya Negeri (PRN) yang lalu menyaksikan UMNO/BN berkongsi kuasa teraju pemerintahan bersama dengan Pakatan Harapan (PH).

“Bukan sahaja UMNO merasakan satu suasana dan era baharu dalam kepimpinan kerajaan negeri yang ada hari ini tetapi juga turut dirasai oleh parti lain dalam PH. Mereka juga merasai sistem pentadbiran kerajaan negeri yang diurus tadbir oleh dua komponen parti yang ‘bermusuh’ sejak sekian lama dan ini satu perkara baharu.

“Tetapi yang penting dan yang utama ialah masing-masing memastikan kerajaan yang diwujudkan selepas PRN sebelum ini adalah sebuah kerajaan yang dikongsi bersama antara dua parti demi kesejahteraan rakyat keseluruhan.

“Yang penting adalah persefahaman yang kukuh dan kuat untuk memastikan tidak berlaku keretakan dalam tempoh kita menerajui kerajaan negeri,” katanya kepada UMNO-Online.

Mac 2023 genap setahun Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan.

Jalaluddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang seterusnya menambah UMNO negeri berkenaan menerima hakikat sebagai ‘lapisan kedua’ di negeri berkenaan dalam struktur pentadbiran kerajaan negeri.

“Saya beritahu kepada pimpinan di Negeri Sembilan… kita tidak boleh lagi bertindak seolah-olah kita mempunyai kuasa total dalam pengurusan kerajaan negeri dan perkara yang sama juga saya bercakap dengan Menteri Besar, Datuk Seri Aminudin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan.

“Apa persefahaman yang kita kena buat… saya terima hakikat bahawa pimpinan telah pilih daripada PH untuk jadi menteri besar dan UMNO sebagai ‘second feeder’ atau lapisan kedua di peringkat negeri. UMNO mendukung sepenuhnya urus tadbir yang dibawa oleh MB dan MB juga harus memikirkan soal parti di dalam Kerajaan Perpaduan… ini yang penting.

“Apabila wujud persefahaman kita yakin dan percaya dapat terus berjalan tanpa sebarang gangguan dan yang utama kepada kita sekarang ialah untuk memberi keyakinan kepada rakyat apabila wujudnya Kerajaan Perpaduan dan ini juga merupakan satu formula baharu kepada rakyat,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.