Teguran MB Johor Bukan Satu Kesalahan, Sama-Sama Perbaiki – Hafiz Ariffin

KUALA LUMPUR, 29 Mac – Apa yang dilakukan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berhubung tegurannya kepada Jabatan Imigresen mengenai kesesakan di Tambak Johor bukanlah satu kesalahan.

Sebaliknya tegas Setiausaha Pemuda UMNO, Hafiz Ariffin iaya adalah teguran untuk manfaat bersama dan kepentingan masyarakat secara menyeluruh.

“Saya tidak melihat apa yang dilakukan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai satu kesalahan.

“Malah CUEPACS jangan manja dan ‘entitled’. Saya tidak melihat apa yang dilakukan itu menjadi satu kesalahan sehingga CUEPACS perlu keluar kenyataan sedemikian,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online.

Tambah Hafiz lagi, CEUPACS seharusnya melihat secara menyeluruh khususnya kekurangan yang ada untuk sama-sama diperbaiki.

“Tidak perlu rasanya sehingga keluar kenyataan sedemikian rupa sebaliknya CUEPACS perlu menegur kesalahan dan kekurangan yang ada pada perkhidmatan awam yang berlaku berulang-ulang kali.

“Ia menjejaskan ramai orang dan kecekapan perkhidmatan awam. Barulah peranan CUEPACS lebih kelihatan selain hanya bercakap soal bonus, kenaikan gaji dan hal-hal melibatkan kelebihan,” ujarnya.

Memetik laporan, CUEPACS dilapor menggesa sebarang teguran kepada penjawat awam perlu dibuat secara berhemah tanpa terlalu diuar-uarkan di media sosial.

Perkara itu dinyatakan Setiausaha Agung CUEPACS, Abdul Rahman Mohd Nordin untuk mengelak timbul situasi sehingga tidak menggambarkan situasi sebenar.

Beliau berkata demikian mengulas pertikaian isu kesesakan di Tambak Johor antara Onn Hafiz dengan Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM).

Isnin lalu, Onn Hafiz dalam satu hantaran di Facebook meluahkan rasa kecewa apabila 13 kaunter di laluan kereta di Tambak Johor tidak dibuka kepada orang ramai sehingga menyebabkan kesesakan sehari sebelum itu.

Beliau dipetik berkata perkembangan pengoperasian pintu sempadan negara di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) itu dilihat masih belum berada pada tahap kecekapan yang penuh. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.