Ahmad Zahid Umum Lebih RM1 Juta Peruntukan Pembangunan Kampung Orang Asli

KUALA LANGAT, 29 Mac – Sebanyak 22 kampung Orang Asli di daerah Kuala Langat akan menerima peruntukan pembangunan melibatkan 25 projek dengan jumlah keseluruhannya sebanyak RM977,000 berserta peruntukan pembiayaan sebanyak RM1.37 juta.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata demikian sambil menzahirkan rasa syukur kerana dapat bersama-sama dalam Majlis Santunan Kasih Ramadan semalam.

“Alhamdulillah. bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpahan rahmat-Nya maka, dapat kita bersama di dalam Majlis Santunan Kasih Ramadan.

“Majlis ini amat bermakna kerana inilah manifestasi kegigihan kita semua dalam menyantuni dan menunjukkan kepedulian kepada golongan yang kurang bernasib baik selaras dengan terapan nilai ihsan bagi menjayakan agenda Malaysia Madani.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua agensi–agensi KKDW yang telah memainkan peranan selaku urusetia dalam menganjurkan program ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam jalis tersebut.

Beliau yang juga Presiden UMNO turut berkata, Majlis Santunan Kasih Ramadan ini diadakan untuk mengeratkan silaturahim bersama warga setempat.

“Majlis ini dianjurkan untuk memberi ruang kepada Kementerian dan agensi di bawah KKDW di setiap negeri bagi merapatkan silaturahim bersama warga setempat serta menjadi sebahagian daripada pelaksanaan ‘after sale service’ oleh KKDW dari setiap inisiatif yang telah disalurkan.

“Dalam semangat Ramadan ini juga, saya berharap dengan pelaksanaan pelbagai aktiviti ini dapat kita melahirkan insan yang seimbang dari segi rohani, jasmani, emosi, intelek dan sosial.

“Di samping itu, secara tidak langsung ia turut memupuk semangat perpaduan, kerjasama, semangat kerja berpasukan dan mengeratkan ukhuwah sebagai sebuah masyarakat Malaysia Madani,” katanya lagi.

Beliau turut memaklumkan bahawa Majlis Amanah Rakyat (MARA) Selangor telah menyediakan pelbagai peruntukan untuk dinikmati oleh rakyat di negeri tersebut.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memaklumkan bahawa pada tahun 2023 MARA Selangor telahpun membelanjakan lebih RM 1.5 juta yang memberi manfaat kepada 565 orang usahawan. Ini termasuklah dalam pelbagai aktiviti keusahawanan seperti Program Pensijilan Usahawan (BEST) dan Program Pendigitalan Perniagaan (DIGITALBIZ).

“Bagi tujuan ini, MARA Selangor menyasarkan sebanyak RM 816,000 untuk diberikan kepada 383 usahawan di Selangor untuk tahun 2024. Untuk Pembiayaan Usahawan pula, MARA menyasarkan peruntukan sebanyak RM 39,055,000 untuk diberikan kepada 390 usahawan Selangor yang berkelayakan.

“Di Negeri Selangor, MARA telah menyediakan pelbagai premis perniagaan yang telah melibatkan sejumlah 483 lot perniagaan membabitkan 36 projek premis dengan peratus pengisian melebihi 95 peratus di 11 daerah. Manakala, untuk membaik pulih premis perniagaan di Selangor, MARA memperuntukkan hampir RM 3 juta,” katanya lagi.

Di samping itu, beliau turut berharap agar segala peruntukan yang dikongsikan tersebut dapat membantu masyarakat meningkatkan taraf hidup mereka.

“Saya juga ingin memaklumkan bahawa sebanyak 22 kampung orang asli di Daerah Kuala Langat dan Klang dengan jumlah penduduk sebanyak 6,396 orang terdiri daripada majoriti suku kaum dari Mah Meri akan menerima peruntukan pembangunan melibatkan 25 projek dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM977,000 serta peruntukan pembiayaan perniagaan sebanyak RM1.37 juta.

“Seterusnya, melalui KEMAS turut disediakan peruntukan pembangunan komuniti sebanyak RM669,500 meliputi program Hari Kebesaran Islam, Klinik Audit Solat, Street Dakwah, Kampung Mandiri, Jom Masuk Kampung, Kem Eksplorasi Belia, Kembara Merdeka, Sahabat Komuniti Desa, Sukarelawan Prihatin, Projek Rakan Kebun, Pakej Latihan Keusahawanan, dan Promosi dan Pemasaran.

“Melalui peruntukan yang telah saya kongsikan ini, saya berharap ianya dapat membantu masyarakat luar bandar di negeri Selangor meningkatkan taraf sosio-ekonomi, lebih berdaya saing dan sejahtera dalam segenap aspek kehidupan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan sumbangan Ramadan berjumlah RM13,000 kepada 60 anak-anak yatim dan 70 orang pelajar tahfiz daripada kariah Masjid Jamek As-Solihin Kanchong Darat, Banting.

“Sesungguhnya bulan Ramadan turut mengajar kita erti bersyukur dengan segala nikmat yang kita peroleh ini. Apatah lagi untuk kita berkongsi nikmat tersebut dengan mereka yang memerlukan. Dengan mengambil kerangka Malaysia Madani yang menekankan aspek kesejahteraan, kerajaan sentiasa memberikan perhatian kepada golongan yang memerlukan seperti anak yatim.

“Alhamdulillah, majlis ini turut menyediakan sumbangan Ramadan berjumlah RM 13,000 akan diagihkan kepada 60 orang anak yatim dan 70 orang pelajar tahfiz daripada kariah Masjid Jamek As-Solihin Kanchong Darat, Banting.

“Diharapkan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat memberi keceriaan kepada para penerima dalam menjalani ibadah sepanjang bulan Ramadan ini,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.