Isu Kalimah Allah: Kempen Boikot Perlu Diteruskan, Beri Pengajaran Pihak Hina Agama Islam

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh beranggapan bahawa kempen boikot kedai rangkaian serbaneka KK Mart perlu diteruskan supaya ia menjadi pengajaran kepada semua pihak untuk tidak menghina agama Islam.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat sehingga pengasas KK Mart dan pembekal stoking tertera kalimah Allah didakwa di mahkamah.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada polis dan semua pihak yang terlibat sehingga mereka ini didakwa di mahkamah semalam.

“Kita menghormati proses undang-undang untuk dilaksanakan mengikut aturannya. Tetapi pada masa yang sama, kempen boikot KK Mart ini perlu diteruskan agar ia memberikan pengajaran hebat kepada mana-mana pihak yang menghina agama Islam,” katanya.

Tegasnya, meskipun menerima ugutan bunuh, pendirian beliau dan seluruh umat Islam tidak akan berubah dalam isu #BoikotKKMart ini.

“Kita juga mengecam sekeras-kerasnya isu insiden melampau yang membaling bom petrol ke KK Mart dan ugutan bunuh terhadap saya.

“Walaupun diugut bunuh pendirian saya dan seluruh umat Islam di Malaysia tidak akan berganjak untuk kita teruskan kempen #BoikotKKMart ini agar ia menjadi pengajaran yang keras untuk semua pihak supaya tidak memperlekehkan agama Islam di bumi ini.

“Untuk meredakan keadaan kita serahkan kepada pihak polis lakukan siasatan dan seterusnya dikenakan tindakan yang sekerasnya untuk mereka ini. Terus boikot!” katanya.

Pada Selasa media melaporkan pengasas KK Super Mart dan isterinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan sengaja melukakan perasaan agama orang lain dengan menjual stoking tertera kalimah Allah.

Datuk Seri Chai Kee Kan dan Datin Seri Loh Siew Mui membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Turut dituduh adalah kedua-dua syarikat iaitu KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Mart) dan pengedar yang masing-masing diwakili Kee Kan dan Chin Huat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.