UMNO Beaufort Gesa Siasat Aktiviti Korek Pasir, Ganggu Ekosistem… Rosakkan Jalan Raya

MENUMBOK, 26 Mac – UMNO Bahagian Beaufort meminta pihak berkuasa agar menyiasat kerja-kerja pengambilan pasir yang berlaku di Kampung Jagus Menumbok dan Berangkok di Kuala Penyu, di sini.

Ketuanya, Datuk Awang Aslee Lakat berkata, setakat ini mereka tidak mendapat maklumat yang tepat dan terperinci sama ada kerja-kerja pengambilan pasir tersebut dilakukan mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa atau sebaliknya.

Sehubungan itu beliau meminta pihak berkuasa termasuk dari pejabat daerah, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Hasil Bumi, Jabatan Kerja Raya serta jabatan yang berkaitan agar menyiasat perkara ini segera.

“Jika ia dilakukan tidak mengikut peraturan dan syarat yang ditetapkan oleh pihak yang berkuasa, maka tindakan serta-merta menghentikannya perlu dilakukan sebaliknya jika ada kelulusan dari kerajaan, mestilah perlu didedahkan kepada umum dan kerja-kerja yang dilakukan wajib mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, kelmarin.

Awang Aslee yang juga Pengerusi Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Beaufort berkata, beliau telah dimaklumkan mengenai kerja-kerja pengambilan pasir di dua buah kampung terlibat yang menimbulkan kecurigaan penduduk kerana berkemungkinan dilakukan secara haram iaitu tanpa mendapat lesen atau kelulusan dari pihak berkuasa.

Menurutnya, dari siasatan awal yang dilakukan difahamkan pasir-pasir yang dikorek ini diangkut dan dibawa ke Kudat untuk kilang cermin dan solar tetapi ia berbeza dari maklumat pemandu-pemandu lori ini yang mendakwa pasir tersebut dibawa ke Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu untuk dimuat ke dalam kapal laut dan dibawa ke negara China.

“Wujud dua penjelasan berbeza yang menimbulkan kecurigaan, dan apabila pihak kami bertanya kepada seorang pekerja di kawasan ini, beliau sendiri tidak boleh bercakap dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris, cuma bahasa Cina jadi kami gagal mendapat maklumat yang tepat dan jelas,” katanya.

Tambah Awang penduduk kampung memaklumkan mereka beroperasi sehingga jam 3.00 pagi dengan menggunakan lori muatan 10 tan dalam kuantiti yang banyak.

“Ini bukan sahaja menjejaskan aspek keselamatan penduduk kampung tapi turut merosakkan jalan raya yang sedia ada sehingga mendapat bantahan penduduk kampung.

“Saya harap pihak berkuasa dapat membuat lawatan dan penyiasatan terhadap perkara ini kerana jika operasi mengorek pasir ini dilakukan tanpa kelulusan dari pihak berkuasa maka kerja-kerja itu perlu dihentikan segera. Tindakan mengorek pasir ini akan merosakkan ekosistem di kawasan tersebut,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.