Tanggungjawab Bersama Tangani Isu Kewarganegaraan, Elak Diberi Kepada Yang Tak Layak – Rosnah

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berpandangan masalah yang sering dipertikaikan di Sabah adalah isu kemanusiaan terutamanya kanak-kanak yang tiada kewarganegaraan.

Bagaimanapun katanya, situasi berkenaan memerlukan tanggungjawab bersama antara kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan juga individu untuk memainkan peranan penting bagi mengelak kewarganegaraan diberi kepada mereka yang tidak layak.

“Struktur sudah ada tapi ia harus diperkukuhkan dengan tindakan-tindakan intervensi, bukan saja dilakukan oleh pihak kerajaan dan memerlukan kerjasama. Seperti di Sabah, NGO memainkan peranan iaitu menubuhkan sekolah-sekolah dan memberikan asas pendidikan pada anak-anak yang tiada kewarganegaraan.

“Masalah ini tidak akan selesai jika tidak ada semua orang yang bertanggungjawab dan ia perlu melibatkan semua pihak, perlu ada komitmen dari pihak kerajaan dan juga yang terlibat secara langsung dengan situasi ini termasuk negara asal.

“Itu adalah satu tindakan yang harus dipuji, tapi sekiranya perkara ini tidak dilihat secara holistik maka ia tidak akan dapat diatasi dan masalah yang berlaku akan berlarutan hingga masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi wawancara podcast Penerangan UMNO Malaysia #HitamKelabuPutih yang bertajuk ‘Wajarkah Kerajaan Tangguh Pindaan Undang-Undang Kewarganegaraan?’ yang disiarkan menerusi platform Facebook, UMNO Online, semalam. 

Mengulas lanjut, katanya situasi ini amat membimbangkan sekiranya kanak-kanak yang tidak didokumentasi sedangkan mereka dilahirkan di Sabah kerana pada masa depan jika ada dokumen maka mereka lebih stabil dan terhindar dari sebarang gejala jenayah.

“Kita berhadapan dengan senario luar biasa yang memerlukan tindakan yang luar biasa juga untuk mengatasinya. Mereka ini dilahirkan di Sabah, Malaysia dan menjadi generasi yang ketiga dan keempat. Sekiranya berlaku jenayah maka mereka akan ditangkap dan didakwa dengan pilihan yang ada adalah menyerahkan mereka kembali ke negara asal.

“Walaupun mereka di hantar ke negara Indonesia atau Filipina, negara ini juga menolak mereka dan menghantar kembali kerana mereka tiada ‘connection’. Ini adalah perkara yang berlaku pada mereka.

“Perkara ini tidak akan berlaku setahun dua, ia memerlukan komitmen, memerlukan campur tangan politik dan merangkum semua pihak termasuk juga dari NGO,” katanya lagi.

Rosnah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Papar melahirkan rasa risau sekiranya perkara tersebut tidak diberi perhatian atau tidak dapat diatasi yang tentunya memberi kesan jangka panjang bagi kanak-kanak yang tiada kewarganegaraan.

“Perkara-perkara tersebut perlu dilihat sebagai cara motivasi untuk memastikan masalah yang berlaku di Sabah ini dapat diselesaikan dalam masa yang pendek.

“Sekiranya tidak dapat diselesaikan maka ianya akan melibatkan generasi yang akan datang sama ada kelima atau keenam malah akan lebih teruk lagi,” tegasnya.

Terdahulu, Kerajaan bersetuju dengan tujuh daripada lapan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan membabitkan isu kewarganegaraan yang dikemukakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Ia juga termasuk mengenal pasti lapan perkara untuk dimasukkan sebagai cadangan dalam pindaan Perlembagaan Persekutuan membabitkan pemberian kewarganegaraan kepada anak yang lahir di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit