Penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig Bantu Perkembangan Industri Gig Malaysia – Sharkar

KUALA LUMPUR, 25 Mac – Pengerusi Sekretariat Komuniti Gig Malaysia, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin melihat Penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig yang diumumkan kerajaan baru-baru ini memberi pelbagai manfaat kepada pekerja di sektor berkenaan.

Menurut beliau pihaknya melahirkan rasa syukur dan terima kasih atas keprihatinan kerajaan yang akhirnya menubuhkan suruhanjaya berkenaan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Kongres Ekonomi Bumiputera baru-baru ini.

“Kita melihat langkah ini akan membantu perkembangan industri berkenaan di negara ini sekaligus membantu golongan yang menceburkan diri dalam sektor tersebut. Tentunya pelbagai perkara dan faedah akan dinikmati kelak.

“Yang penting tentunya pekerja ekonomi gig dapat memperbaiki status sebagai pekerja tidak formal bagi membolehkan mereka mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) seperti dilakukan pekerja formal,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) di Putrajaya baru-baru ini mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig bagi melindungi hak 1.12 juta pekerja gig dengan tumpuan adalah untuk memenuhi keperluan sosial, menyelesaikan pertikaian kontrak dan mendorong kemajuan kerjaya golongan berkenaan.

Sharkar seterusnya menambah perkara berkenaan yang diperjuangkan sebelum ini oleh pelbagai pihak khususnya UMNO sendiri dalam memperjuangkan soal berkenaan akhirnya membuahkan hasil dan insya Allah pihaknya akan terus memastikan penubuhan suruhanjaya tersebur benar-benar memberi manfaat kepada pekerja di sektor tersebut.

“Terima kasih kepada pihak kerajaan yang mengambil berat dan melihat perkara ini secara mendalam dan menerusi KEB, Suruhanjaya Pekerja Gig menjadi realiti dan ini menggambarkan kesungguhan dan komitmen kita dalam memperjuangkan agenda dan kepentingan rakyat pelbagai peringkat.

“Dan paling penting kita ingin imbau kembali bagaimana perkara tersebut yang terkandung di dalam ucapan dasar Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini, benar-benar menjadi kenyataan. Alhamdulillah,” ujarnya.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.