‘Orang Yang Tidak Hafal Undang-undang Pun Tahu Islam Agama Persekutuan’ – Jamil Khir

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Asas Islam di negara ini bukan berdasarkan kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan menteri agama, sebaliknya asas Islam berada pada Perlembagaan Persekutuan, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Katanya, Islam di Malaysia ini diasas dan dipasakkan sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan.

“Orang yang mengamalkan undang-undang atau tidak menghafal pun tahu bahawa Islam adalah agama Persekutuan walaupun kadang-kadang ramai yang menyebut Islam sebagai agama rasmi.

“… tetapi sebenarnya kalau ditafsirkan secara betul mengikut Perlembagaan, Islam sebagai agama Persekutuan dan disebut dalam Perkara 3 mana-mana agama lain bebas untuk diamalkan di mana-mana bahagian tanpa menganggu gugat Islam.

“Maka Kerajaan Madani yang ada adalah kerajaan yang meneruskan apa yang telah diasaskan melalui Perlembagaan yang telah disebut dalam Perkara 3,” katanya.

Beliau berkata demikian pada #HitamPutihKelabu Edisi Ramadan: Persepsi Rakyat Malaysia Mengenai Islam Sebagai Agama Persekutuan bersama panel Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof yang disiarkan di Facebook UMNO Online, malam tadi.

Jamil Khir dalam pada itu turut sama menyentuh berkenaan isu penjualan stoking tertera kalimah Allah, beliau berkata hukuman sewajarnya perlu dilakukan mengikut undang-udang bagi memastikan isu seumpama ini tidak berulang kembali.

“Soal stoking ini hal berkaitan dengan isu agama, raja dan kaum (3R) ada undang-undangnya maka laksanakan hukuman kepada mereka.

“Supaya bukan soal pengajaran kerana undang-undang mesti dikenakan kepada mereka yang terlibat.

“Nabi Muhammad SAW kata pada sahabat-sahabatnya kalaulah Siti Fatimah r.a itu mencuri tangannya aku potong. Maka tidak kira siapa pun yang melakukan kesilapan stoking dan sebagainya, ini adalah peraturan-peraturan yang harus dihormati dalam konteks negara kita,” ujar beliau.

Terdahulu pada 13 Mac lalu, tular dalam media sosial isu stoking tertera kalimah ‘Allah’ dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) menerusi sidang media khas Ahad lepas memohon maaf secara terbuka berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah ‘Allah’, di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Kemudiannya pada 20 Mac, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan pengasas dan juga Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Mart, Datuk Seri KK Chai antara lapan individu yang telah dipanggil dan selesai diambil keterangan bagi membantu siasatan kes penjualan stoking tertera kalimah Allah yang mencetuskan ketegangan di negara ini.– UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit