Isu Stoking Kalimah Allah: Semangat Madani… Saling Memahami Kesucian Agama Masing-Masing

ALOR SETAR, 22 Mac – Antara semangat dalam Kerajaan Madani adalah memahami kesucian agama masing-masing, kata Timbalan Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri.

Jelasnya, penjualan stoking kaki yang tertera kalimah Allah oleh kedai rangkaian serbaneka KK Mart jelas telah menghina Islam sebagai agama Persekutuan.

“Kecoh satu Malaysia apabila KK Mart menjual stoking yang terjahit nama Allah tersebut. Perkara ini secara jelas telah menghina kesucian Islam sebagai agama persekutuan.

“Walaupun KK Mart telah membuat permohonan maaf, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Salleh telah meminta kesemua kedai KK Mart di Malaysia untuk menaikkan kain rentang permohonan maaf ataupun gerakan boikot akan diadakan.

“Tapi yang pelik, ada pihak menuduh Dr Akmal telah merosakkan semangat Madani apabila beliau lantang memperjuangkan isu stoking tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Setar turut berasa pelik dengan tindakan segelintir pihak yang meminta Dr Akmal untuk tidak memulakan gerakan memboikot rangkaian kedai serbaneka tersebut.

“Ada pihak pula meminta Dr Akmal untuk tidak memulakan gerakan boikot kerana KK Mart sudah pun meminta maaf. Katanya, kalau berlaku di kedai rangkaian orang Islam, adakah gerakan boikot juga akan dikenakan?

“Nak tahu kenapa perkara ini pelik? Ini isu umat Islam. Tuhan kepada umat Islam telah dihina sebegitu rupa, maka layaklah untuk umat Islam berasa marah dan meminta untuk KK Mart tidak sekadar meminta maaf sahaja.

“Cuba bayangkan kalau ada perogol atau pembunuh telah melakukan jenayah dan mengaku, adakah kita boleh sekadar terima permohonan maaf dari mereka? Biarkan dan lupakan sahaja isu tersebut? Tidak bukan?” katanya lagi.

Menurutnya, beliau turut beranggapan bahawa tindakan tersebut berpatutan kerana Malaysia adalah sebuah negara yang mengangkat Islam sebagai agama Persekutuan.

“Malaysia sebagai negara yang mengangkat Islam agama persekutuan, logiknya kita tidak boleh berdiam diri sahaja. Contohnya di Dubai, pesalah yang menghina nama Allah akan didenda sehingga RM2 juta ataupun penjara sehingga lima tahun.

“Sebab itu, bagi saya kalau mereka betul-betul memahami semangat Madani, mereka perlu bersetuju bahawa minta maaf sahaja tidak mencukupi. Ini kerana antara semangat Madani adalah memahami kesucian agama masing-masing,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata penghinaan seumpama ini bukan berlaku buat kali pertama dan sudah tiba masanya ‘affirmative’ dilakukan sebagai tauladan kepada semua pihak.

“Kalau mereka tidak setuju, itu hak dia. Tetapi bagi UMNO sebagai ‘custodian’ agama Islam di negara ini, kempen boikot ini dirasakan perlu kerana ini bukan pertama kali perkara penghinaan seumpama ini berlaku.

“Jadi, mungkin sudah tiba masanya tindakan ‘affirmative’ ini dilakukan… mungkin bukan selamanya tetapi untuk satu tempoh yang sesuai sebagai teladan kepada semua jangan ambil mudah soal sensitiviti agama seperti ini. Nama tuhan kami dipapar sebegitu rupa umpama maruah agama kami yang diinjak-injak.

“Jadi, mereka perlu faham dalam konteks orang Islam, permohonan maaf semata tidak cukup! Mereka nak pertahankan peniaga sahaja, kami pertahankan maruah agama kami jadi usaha boikot ini adalah benda yang sekecil yang boleh kami lakukan untuk protes,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.