#HitamPutihKelabu Siri Podcast Penerangan UMNO, Kupas Pelbagai Isu Semasa

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan #HitamPutihKelabu merupakan siri podcast penerangan mingguan berhubung isu semasa oleh pakar bidang subjek kepada jentera Penerangan UMNO.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) berkata demikian menerusi hantaran dalam laman Facebooknya, yang turut melampirkan 10 podcast yang telah dilaksana.

“Bermula sejak 5 Februari lalu, ia telah mengupas pelbagai isu penting di negara ini termasuk isu skim pencen, apakah itu suruhanjaya siasatan diraja (RCI) dan banyak lagi.

“Saksikan #HitamPutihKelabu setiap minggu di Facebook dan YouTube UMNO Online,” katanya.

Julung kali dilaksana pada 5 Februari lalu, Azalina sendiri telah bertindak selaku moderator dengan menampilkan Tan Sri Shahrir Samad dan Datuk Halim Suleman sebagai panel yang mengupas isu bertajuk “Apa Itu RCI? susulan penubuhkan RCI oleh kerajaan bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Menurut Shahrir, RCI ini penting agar semua pihak dapat mengetahui dengan lebih lanjut di samping mengambil pengajaran daripadanya.

Menyusul seterusnya ialah perbincangan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) dengan panel perbincangan membariskan gabungan ahli akademik dan ahli politik iaitu Profesor Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani dan Naib Canselor Universiti Poly-Tech Malaysia Prof Dr Sharifah Syahirah Syed Sheikh bersama Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Gulam Muzaffar Gulam Mustakim.

Terbaharu, semalam siri podcast tersebut membincangkan isu berkaitan persepsi rakyat Malaysia mengenai Islam sebagai agama Persekutuan yang menampilkan Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.