RUU Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023 Mampu Cegah Kes Tuntutan Sulu Berulang – Azalina

KUALA LUMPUR, 21 Mac – Rang Undang-Undang (RUU) Bidang Kuasa Negara Asing 2023 diwujudkan supaya kes seumpama tuntutan waris Sulu tidak berulang lagi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata, apa yang terjadi dalam kes Sulu ialah Kerajaan Malaysia telah disaman di bidang kuasa mahkamah negara asing yang tiada kena mengena dengan Malaysia.

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada ahli-ahli Parlimen di atas kelulusan RUU Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023. Harapan daripada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, dengan adanya RUU ini kes-kes yang berlaku terhadap negara Malaysia seperti tuntutan Sulu tidak akan berulang dengan begitu mudah.

“Apa sebenarnya maksud saya? Apa yang terjadi dalam kes Sulu itu ialah Kerajaan Malaysia disaman dalam bidang kuasa mahkamah negara asing. Mereka saman Malaysia ke atas satu perjanjian timbang tara yang kononnya wujud pada tahun 1878.

“Kemudian kita disaman bukan dalam bahasa yang kita faham. Kita disaman di mahkamah bidang kuasa yang tidak kena mengena dengan negara Malaysia. Jadi, contohnya kes kita yang pertama didengari di Mahkamah Timbang Tara Sepanyol, Madrid,” katanya menerusi hantaran video di laman Facebooknya.

Menurutnya, perkara tersebut telah berlaku dan BHEUU serta Jabatan Peguam Negara berjaya membuktikan bahawa penimbang tara tersebut telah didapati bersalah melanggar undang-undang.

“Kes berjalan dalam bahasa Sepanyol. Semua timbang tara dan juga orang-orang yang bertanggungjawab dalam pengendalian kes berbahasa dalam bahasa Sepanyol. Cuba tuan-tuan dan puan-puan bayangkan macam mana Malaysia nak membela diri?

“Bukan sahaja kita dalam bidang kuasa mahkamah asing, tuntutan terhadap kita pun memang sesuatu yang sukar difahami sebenarnya. Tetapi, isunya perkara ini telah berlaku. Saya daripada BHEUU, Jabatan Peguam Negara dan Mahkamah Jenayah Sepanyol telah dapat membuktikan bahawa penimbang tara yang memberikan award lebih daripada USD14.5 bilion ke atas Malaysia itu didapati bersalah melanggar undang-undang jenayah.

“Tetapi, sudah pasti ketentuannya kes itu dalam bidang kuasa luar daripada mahkamah Malaysia. Saya juga nak tekankan di sini tentang kuasa Perdana Menteri kononnya dalam isu kekebalan ini kuasa yang tidak dikawal, ini tidak benar,” katanya lagi.

Jelasnya, RUU ini bukan berkenaan dengan menggadaikan maruah negara dan memberikan kedaulatan sewenang-wenangnya kepada kuasa negara lain.

“Isu kedaulatan dan keselamatan negara di bawah Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri bersama barisan kepimpinan dan beberapa ketua agensi seperti Panglima Angkatan Tentera serta Ketua Polis Negara.

“Akta MKN ada Ketua Pengarah MKN dan beliau memang bertanggungjawab dalam semua isu keselamatan negara kita. Dalam RUU ini setiausaha kepada majlis diwujudkan… yang pengerusinya adalah Perdana Menteri dan Ketua Pengarah BHEUU di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Jadi, ini bukan berkenaan dengan menggadai maruah negara, memberikan kedaulatan sewenang-wenangnya kononnya keselamatan negara akan diancam… tidak ada kena mengena. Ini akta bidang kuasa mahkamah negara asing,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Azalina menekankan bahawa melalui RUU ini segala tindakan Perdana Menteri mengenai isu kedaulatan negara perlu diwartakan.

“Apa yang kita nak lihat ialah kes seperti Sulu itu berulang, sebab kita tahu mana-mana pihak boleh membuat tuntutan ke atas negara kita. Itu tidak ada masalah dan memang menjadi sesuatu hak masing-masing. Tetapi dalam kes yang kita nak tengok di sini, apa pun tindakan Perdana Menteri di bawah RUU ini mesti diwartakan. Warta itu maknanya semua orang akan tahu.

“Sebelum adanya RUU ini memang ada undang-undang antarabangsa yang mengatakan negara-negara asing mempunyai kekebalan dalam bidang kuasa negara lain. Di Malaysia ini adanya kementerian yang bertanggungjawab iaitu Kementerian Luar Negeri yang adanya seorang pegawai kerajaan iaitu setiausaha bahagian yang boleh memberikan sijil bahawa negara asing itu tidak boleh disaman dalam negara kita.

“Itu memang satu isu pentadbiran. Jadi, isu sebenarnya kerja pentadbiran itu diberikan kepada satu majlis yang Pengerusinya ialah Perdana Menteri dan majlis ini diduduki 12 orang termasuk menteri kabinet,” katanya lagi.

Dilaporkan, Dewan Rakyat telah meluluskan RUU Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023, bertujuan mengawal selia kekebalan diberi kepada sesebuah negara asing dan hartanya, ketua negara dan ketua kerajaan daripada bidang kuasa mahkamah Malaysia.

RUU yang dibahaskan oleh 11 ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang itu, diluluskan dengan suara majoriti ahli Dewan Rakyat selepas dibentang pertama kali pada 29 November tahun lalu.

Kelulusan RUU itu diumumkan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor, selepas digulung Azalina. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.