Ramadan Platform Terbaik Bukti Kewujudan UMNO Sentiasa Bersama Rakyat – Mohd Zaidy

JEMPOL, 21 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir mengaplikasi bulan Ramadan sebagai platform terbaik mengimarahkan silaturrahim bersama-sama masyarakat setempat.

Beliau memenuhi bulan tersebut dengan pelbagai gerak kerja yang dimanfaatkan demi kepentingan para penduduk di kawasan terbabit.

Katanya, pelbagai alternatif digerakkan kerana ini adalah bukti bahawa UMNO sentiasa ada bersama rakyat waima sekalipun bukan dalam bulan Ramadan.

“Kita mengimarahkan bulan Ramadan dan memeriahkan majlis iftar bersama-sama yang secara tidak langsung akan dapat mengeratkan silaturahim antara umat Islam.

“Bukan hanya dalam acara berbuka puasa kerana kita bergerak setiap masa dengan menyantuni masyarakat pelbagai lapisan, pelbagai peringkat usia dan pelbagai bangsa juga,” katanya kepada UMNO Online.

Terdahulu beliau telah hadir ke Majlis Berbuka Puasa bersama penduduk di Masjid Al-Hidayah Pekan Rompin.

“Alhamdulillah, saya berkesempatan menyampaikan bantuan kewangan kepada 30 orang penerima golongan asnaf serta anak istimewa dan 30 keluarga penerima bakul makanan dari Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM). Saya juga memberi sumbangan kain pelikat kepada mereka yang bertadarus al-Quran di masjid ini.”

Dalam hal ini, Mohd Zaidy merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada semua penduduk yang telah bertungkus-lumus bekerjasama menjayakan majlis iftar terbabit.

Beliau berharap agar jalinan dan gerak kerja yang dilaksana akan berterusan malah saling menyokong apa-apa usaha yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Terima kasih saya ucapkan kepada barisan kepimpinan Masjid Al-Hidayah Pekan Rompin, Surau Kampung Baru Rompin, JPKK Kampung Seri Rompin, JPKK Kampung Baru Rompin, KRT Rompin, Balai Polis Rompin, UMNO Cawangan Taman Desa Melor, UMNO Cawangan Rompin dan UMNO Cawangan Taman Sri Rompin yang telah sudi menjemput saya seterusnya menjayakan majlis berbuka puasa beramai-ramai tersebut.”

Sementara itu menerusi hantaran berbeza dalam laman Facebooknya, Mohd Zaidy turut mengadakan kunjungan menyantuni para peniaga di Bazar Ramadan Batu Kikir, baru-baru ini.

Selain meninjau keadaan persekitaran dann secara terus mengadakan pertemuan dengan penjaja di sini, beliau turut mengedarkan apron bagi kegunaan mereka.

“Ini adalah sumbangan kecil dalam membantu para penjaja berniaga dengan lebih selesa dan bersih,” katanya.

Dalam aktiviti tersebut beliau telah disertai barisan kepimpinan JPKK Batu Kikir, JPKK Bukit Gombang, UMNO Cawangan Batu Kikir Barat dan UMNO Cawangan Pekan Batu Kikir. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.