Kempen Boikot KK Mart: Saya Hanya Mahu Maruah, Kesucian Agama Islam Dipelihara – Dr Akmal
KUALA LUMPUR, 21 Mac – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan bahawa kempen boikot KK Mart yang sedang dijalankan adalah untuk memelihara maruah dan kesucian agama Islam.
Jelasnya, kempen menyedarkan perlu ada tekanan keras untuk memberi pengajaran kepada mana-mana pihak yang mempermainkan agama Islam.
“Bagaimanalah umat Islam tidak dipandang rendah apabila kita tidak mampu untuk bersatu walaupun di saat agama Islam dihina kerana perasaan iri hati yang mahu melihat dia lebih baik dari semua orang… ataupun dalam bahasa mudah dia sahaja terpaling baik.
“Apabila kita membantah pada peringkat awal walaupun ketika itu semua senyap sahaja, tetapi kita tetap bantah. Walaupun diasak kiri dan kanan, kita teruskan untuk membuat laporan polis seluruh malaysia yang akhirnya berjaya membuka mata rakyat untuk bersama-sama dalam isu ini.
“Bila kita lancarkan boikot kita pula dituduh terpaling hero. Salahkah saya untuk jalankan kempen boikot? Kempen menyedarkan sesama kita tentang perlu adanya tekanan keras untuk memberi pengajaran kepada mereka yang menghina agama Islam? Salahkah saya cuba memberi peringatan pentingnya kita perlu jayakan boikot ini setiap hari?” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Menurutnya, kempen boikot yang dijalankan pada peringkat awal ini telah berjaya membuka mata banyak pihak bahawa tekanan keras perlu diberikan.
“Kenapa saya tidak mencadangkan untuk mengubal undang-undang? Cadangan itu ada saya utarakan selepas laporan polis dibuat pada hari pertama ketika kita minta kes ini disiasat di bawah Seksyen 298(A) Kanun Keseksaan. Kita juga mencadangkan agar akta ini boleh digubal untuk hukuman yang lebih berat. Tetapi saya ini adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), pengubalan undang-undang adalah di bawah bidang kuasa Parlimen.
“Jadi alhamdulilah, kempen yang kita jalankan di peringkat awal telah membuka mata ramai orang bahawa tekanan keras perlu dilakukan dan perlunya peranan semua pihak untuk bersama menjayakan kempen ini
“Mungkin dia terlupa saya ini adalah ADUN, nak gubal undang-undang adalah tugas ahli Parlimen. Tetapi syukur dengan adanya kempen boikot dan tekanan di peringkat awal yang telah kami lakukan membuatkan ahli-ahli Parlimen sedar tentang isu ini perlu diatasi dengan lebih serius,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut menekankan bahawa kempen ini langsung tidak melibatkan keuntungan politik kerana kesucian agama Islam perlu dipertahankan.
“Apa yang penting bagi saya, agama Islam akan tetap saya pertahankan dengan nyawa. Bagi saya, ini bukan soal siapa dapat keuntungan politik. Ini soal bagaimana kita mahu melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin Islam terutama ketika agama kita dihina.
“Ambillah semua keuntungan politik itu kepada kamu dan parti yang kamu sokong kerana saya tidak mahu satu pun. Hanya satu permintaan saya, jangan kacau saya untuk melaksanakan tanggungjawab ini dengan tuduhan yang tidak elok. Husnuzon kan lebih baik.
“Lupakanlah perbezaan warna politik ketika kita bersama mempertahankan agama Islam, bangsa dan tanah air kita,” katanya lagi. – UMNO Online