Dari Parlimen: Malaysia Tidak Ambil Tindakan Terhadap WTO – Johari Ghani

KUALA LUMPUR, 21 Mac – Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berpendapat Malaysia tidak sepatutnya mengambil tindakan kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) berhubung diskriminasi Kesatuan Eropah (EU) terhadap minyak sawit sebagaimana dilakukan Indonesia.

Menurutnya, hal ini kerana Delegated Act di bawah RED II menyasarkan biobahan api yang berasaskan minyak sawit tidak menyentuh isu-isu kemampanan berkaitan minyak sawit secara umum.

“Indonesia adalah antara pengeluar biobahan api utama di dunia. Palm Methyl Esters (PME) merupakan input adunan biobahan api utama di Indonesia dan Malaysia.

“Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Oil World, pada tahun 2023, dianggarkan 25.2% (12.2 juta tan) daripada pengeluaran CPO Indonesia (48.4 juta tan) diproses untuk menghasilkan PME. Pada tempoh yang sama, hanya 7.7% (1.4 juta tan) daripada pengeluaran CPO Malaysia diproses untuk menghasilkan PME.

“Seharusnya, Malaysia tidak perlu turut memfailkan aduan kepada WTO sebaliknya menyokong dan kekal sebagai pemerhati di dalam kes Indonesia dalam membela kelapa sawit sebagai sumber biobahan api daripada sebarang diskriminasi,” katanya.

Beliau menjawab persoalan dari Teresa Kok Suh Sim (Seputeh) yang meminta Menteri Perladangan dan Komoditi menyatakan sama ada keputusan WTO terhadap rayuan Malaysia berkenaan diskriminasi EU berhubung minyak sawit.

Johari yang juga Naib Presiden UMNO menjelaskan pada 5 Mac 2024, WTO telah mengeluarkan keputusan mengenai kes tersebut dan Malaysia telah memenangi 10 daripada 20 aduan yang telah difailkan.

“Technical Barriers to Trade (TBT) dan General Agreement on Tariff and Trade 1994 (GATT) adalah bersifat teknikal. Keputusan panel WTO telah memihak kepada Malaysia dan bersetuju bahawa langkah EU mengakibatkan sekatan perdagangan minyak sawit ke rantau EU dan layanan yang tidak sama rata (diskriminasi) terhadap minyak sawit jika dibandingkan dengan minyak sayuran keluaran negara lain seperti minyak rapeseed, minyak sunflower atau minyak kacang soya,” katanya.

Seterusnya kata Johari lagi, keputusan panel WTO secara verbatim jelas menyatakan bahawa EU perlu menyelaraskan peraturan mereka.

“Mengikut perjanjian-perjanjian TBT dan GATT sebelum membuat sebarang larangan terhadap pengimportan biobahan api daripada sumber minyak sawit.

“Negara pengeluar harus komited untuk terus berunding dengan negara pengimport supaya semua pihak mendapat keadilan,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.