Isu Stoking Kalimah Allah: Ini Bukan Soal Perkauman, Jaga Kesucian Agama Islam – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 20 Mac – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan bahawa isu penjualan stoking kaki bertulisan kalimah Allah oleh KK Mart tidak langsung terkait dengan sentimen perkauman.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau berkata ini merupakan soal menjaga kesucian agama Islam dan sekiranya ada mana-mana pihak cuba mencemarkannya maka akan ditentang habis-habisan.

“Jika kedai orang Islam jual benda yang sama menghina agama Islam, bukan sahaja boikot malah lebih teruk kita akan kenakan tindakan kepadanya.

“Ini bukan soal perkauman. Ini soal menjaga kesucian agama Islam. Jika ada mana-mana pihak yang mencemarkan agama Islam tidak kira bangsa mahupun fahaman politik kita akan tetap lawan habis-habisan. Kekal boikot KK Mart,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial tentang kewujudan stoking tertera kalimah Allah yang dijual secara terbuka di rangkaian runcit tersebut.

Pengendali kedai rangkaian serbaneka tersebut telah tampil membuat permohonan maaf susulan penjualan stoking berkenaan di salah satu cawangannya di Bandar Sunway, Petaling Jaya.

KK Mart dalam satu kenyataan berkata, tindakan serta-merta telah diambil dengan memberhentikan penjualan stoking tersebut.

Semalam media melaporkan, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim murka serta menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di sebuah rangkaian kedai serbaneka.

Justeru, Seri Paduka Baginda bertitah mahu tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah dalam isu ini berdasarkan siasatan pihak berkuasa. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.