TPM Umum Bantuan Khas Aidilfitri Untuk Peneroka FELDA
SUNGKAI, 19 Mac – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan pemberian bantuan khas bersasar sebanyak RM300 kepada peneroka FELDA yang berpendapatan RM1,000 ke bawah.
Menurut beliau bantuan kepada setiap peneroka di 317 Tanah Rancangan FELDA seluruh negara itu akan disalurkan sebelum sambutan Aidilfitri.
“Selain itu, peneroka berpendapatan RM1,000 ke bawah dan peneroka yang berpendapatan RM1,001- RM2,000 pula akan mendapat penangguhan potongan hutang (tidak termasuk Kos Operasi Ladang) untuk hasil bulan Mac,” katanya.
Beliau berkata demikian di Program Iftar Majlis Santunan Kasih Ramadan di MRSM FELDA Trolak, di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan pimpinan UMNO setempat serta para peneroka.
Beliau yang juga Presiden UMNO merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) seterusnya berkata kementerian juga telah meluluskan projek membina jalan dari FELDA Trolak Selatan ke Pekan Trolak, Muallim, Perak dengan kos RM35 juta.
“Projek di bawah Program Jalan Luar Bandar (JALB) ini sedang dalam peringkat reka bentuk dan dijangka ditender pada Oktober 2024. Skop projek ini adalah membina jalan sepanjang 2.3km dengan spesifikasi JKR R1.
“Langkah ini bakal memberi manfaat kepada penduduk di FELDA Trolak dengan menjimatkan masa perjalanan ke pekan Trolak dari 30 minit kepada 10 minit sahaja,” ujarnya.
Pada masa yang sama Ahmad Zahid turut memaklumkan dalam usaha memperkasakan lagi anak-anak FELDA, Majlis TVET Negara akan menyelaras kursus khususnya TVET Generik dan TVET Aras Tinggi bagi meningkatkan kemahiran dan menjana pendapatan. – UMNO Online