RUU Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing Lindungi, Pertahan Kedaulatan Negara – Azalina

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Rang Undang-Undang (RUU) Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023 yang digubal oleh kerajaan adalah untuk melindungi kekebalan negara dengan mengkanunkan undang-undang adat antarabangsa, menambah baik prosedur amalan sedia ada dan amalan terbaik antarabangsa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan RUU ini juga memperuntukkan secara jelas, konsep layanan salingan yang akan diamalkan.

“Hal ini demikian kerana apa-apa kekebalan yang diberikan kepada suatu negara asing boleh ditarik balik sekiranya tidak dibalas oleh negara asing tersebut. Banyak lagi negara di dunia belum lagi menggubal undang-undang kekebalan seperti ini.

“Namun, persoalan ini tidak seharusnya menjadi penanda ukur bagi keperluan negara kita. Kehilangan kedaulatan terhadap Batu Puteh dan tuntutan oleh pihak yang mendakwa sebagai waris Sulu yang telah mengheret Kerajaan Malaysia untuk mempertahankan kedaulatan negara di empat bidang kuasa di dunia telah memberi pengajaran yang cukup besar kepada kita tentang keperluan akta ini. Perkara ini mewajarkan penggubalan RUU ini, sebagai langkah proaktif dan preventif,” katanya.

Azalina berkata demikian ketika ucapan penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata sekiranya negara telah mempunyai undang-undang kekebalan seperti ini sebelum ini, Kerajaan Malaysia dalam kes tuntutan Sulu tidak akan diheret ke Mahkamah di empat bidang kuasa, iaitu Sepanyol, Perancis, Belanda dan Luxembourg.

“Hal ini kerana kita akan mempunyai asas perundangan yang lebih kukuh untuk menegaskan hak kekebalan negara di mahkamah-mahkamah yang berkaitan,” ujar beliau.

Azalina turut menyentuh berkenaan manfaat RUU ini dalam mempertahankan kedaulatan negara, secara khususnya untuk mengelak tuntutan pihak lain seperti tuntutan pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu pada masa hadapan.

Menurut beliau pihak luar boleh memfailkan tuntutan mereka kerana tiada undang-undang yang menghalang untuk berbuat demikian namun di peringkat mahkamah jika suatu tuntutan difailkan, RUU ini boleh digunakan untuk menegaskan kedudukan Malaysia mengenai kekebalan negara asing sepertimana yang diperuntukkan di bawah RUU ini.

“Seperti yang saya telah jelaskan sebentar tadi, RUU ini juga memperuntukkan elemen layanan salingan, dengan izin, ‘reciprocity’ yang boleh digunakan untuk menarik balik apa-apa kekebalan, sama ada semua atau mana-mana kekebalan yang berkaitan, sepertimana yang diperuntukkan dalam Fasal 30 RUU, sekiranya mahkamah bidang kuasa lain tidak melayan permohonan kekebalan di hadapannya.

“Ini adalah kerana Malaysia kini akan mempunyai undang-undang domestik yang telah dikanunkan. United Kingdom memperuntukkan kekebalan negara asing melalui State Immunity Act 1978, manakala Singapura pula memperuntukkan kekebalan negara asing melalui State Immunity Act 1979 yang mirip dengan perundangan kekebalan di UK,” ujar beliau lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.