Penerangan UMNO Dekati Anak Muda, Perkukuh Komunikasi Untuk Persediaan Depani Cabaran

KUALA LUMPUR, 13 Mac- Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bagan Serai, Muhd Afif Zulhilmi Sahariman berkata kebersamaan anggota penerangan Pemuda dan Puteri UMNO untuk memperkukuh komunikasi tanpa mengambil kira had umur adalah aplikasi amat wajar sebagai persediaan mendepani cabaran.

Menurutnya, penglibatan anak muda sebagai pelapis UMNO cukup penting dan secara tidak langsung ia dapat mempereratkan hubungan selain menerima pandangan serta idea setiap lapisan.

“Kita lihat sekarang ini adalah zaman orang muda. Sebenarnya ia amat baik untuk mendidik ahli-ahli UMNO yang masih muda seawal umur 19 tahun supaya mempunyai pelapis pada masa hadapan, begitu juga yang ‘senior’ agar dapat memberikan pandangan serta berkongsi idea.

“Kita dididik sentiasa cintakan parti dan tahu bawa hala tuju UMNO pada masa hadapan. Aplikasi yang diajarkan merupakan modul yang dapat membina jati harga diri seperti cintakan negara selain sayangkan parti agar terus kekal relevan.

“Saya harap semua anggota parti yang terlibat dalam Kursus Pengukuhan Komunikasi Penerangan UMNO dapat menyampaikan pada akar umbi, mengapa parti ini bersama Kerajaan Perpaduan, mendukung kerajaan hari ini dan memahami apa itu Malaysia Madani supaya dapat diterangkan dan lebih faham dasar-dasar kerajaan,” katanya.

Bagi Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Besut, Tuan Hazirul Tuan Mat melihat usaha parti tidak henti untuk mendekati anak muda.

“Saya melihat ada beberapa perubahan yang cukup menarik terutamanya penglibatan orang muda dalam keadaan sekarang iaitu mendepani pelbagai cabaran.

“Apa yang penting adalah info dan pendekatan yang diterapkan lebih dekat pada jiwa anak muda dan penerangannya lebih jelas terhadap isu-isu semasa yang seringkali bermain dikalangan rakyat dan ahli parti. Sedikit sebanyak ianya menjawab segala persoalan dan memberikan pencerahan bagi diterangkan kepada anggota lain,” katanya.

Sementara itu ahli Puteri UMNO Bahagian Nibong Tebal, Sufiatul Farzana Rashidi berpandangan penerangan parti perlu lebih kepada golongan sasar yang ditumpukan secara berterusan agar mereka kembali percaya pada UMNO.

“Kami diberikan penerangan yang menarik terutamanya dalam media massa, menulis lebih baik, memberi input kepada semua peserta. Seterusnya ada analisis media massa yang bersesuaian untuk ‘attract’ kembali agar mereka percaya pada parti dan melalui ini dapat tahu golongan sasaran yang hendak ditumpukan selepas ini.

“Saya harap ada ‘continue learning’ terhadap tampuk pemerintahan parti. Ini adalah peluang terbaik untuk penerangan pemuda dan puteri UMNO mendapat pendedahan.

“Sebagai anak muda, program atau kursus penerangan cukup bermanfaat terutamanya penghasilan bahan-bahan yang berkualiti, motivator, speaker yang hebat serta lokasi yang baik untuk pemantapan diri. Usaha ini harus dikekalkan dan memberi kebaikan pada UMNO,” ujarnya.

Terdahulu Penerangan UMNO Malaysia yang diketuai Datuk Seri Azalina Othman Said merangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) telah melaksanakan lanjutan siri Kursus Pengukuhan Komunikasi pada awal Mac lalu yang menghimpunkan seramai 160 anggota membabitkan Pemuda dan Puteri UMNO dari seluruh tanah air.  

Kursus sedemikian telah berjaya diaplikasi melibatkan Ketua-ketua Penerangan UMNO Bahagian dan juga Ketua Penerangan Wanita UMNO Bahagian dan akan ada kesinambungannya selepas Ramadan. UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.