Penggubalan RUU Kekebalan Bidang Kuasa Asing Cermin Usaha Kerajaan Lindung Kedaulatan Negara

KUALA LUMPUR, 18 Mac – Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing mencerminkan usaha Kerajaan Perpaduan untuk menegakkan hak dan kepentingan negara di samping memastikan kedaulatan negara dilindungi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, setiap negara mempunyai kedaulatan terhadap wilayahnya, termasuklah peristiwa atau apa-apa perkara berkaitan yang berlaku di dalamnya.

“Seperti kita sedia maklum, prinsip kekebalan negara merupakan prinsip asas dalam undang-undang adat antarabangsa (customary international law) yang menetapkan bahawa sesebuah negara dilindungi daripada tindakan dan prosiding di mahkamah negara asing.

“Prinsip ini berasaskan maksim Latin ‘par in parem no habet imperium’ yang membawa maksud ‘equals have no sovereignty over each other’. Prinsip ini adalah berdasarkan konsep bahawa setiap negara mempunyai kedaulatan terhadap wilayahnya, termasuklah peristiwa atau apa-apa perkara berkaitan yang berlaku di dalamnya dan rakyatnya.

“Berdasarkan undang-undang adat antarabangsa, setiap negara perlu menghormati kedaulatan negara lain dan memberi perlindungan kepada sesebuah negara daripada didakwa di mahkamahnya,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, peristiwa tuntutan pihak yang mengaku mereka adalah waris Kesultanan Sulu telah menyebabkan Malaysia dikenakan ‘final award’s timbang tara sebanyak USD14.92 bilion.

“Sebagaimana Ahli-ahli Yang Berhormat sedia maklum, pihak yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu atau penuntut dalam kes Sulu ini telah mengheret Malaysia ke dalam satu kancah penipuan dengan menyalahgunakan proses timbang tara pada peringkat dunia. Kesannya, Malaysia telah dikenakan satu final award timbang tara sebanyak USD14.92 bilion yang juga telah menjejaskan kepentingan aset milik Malaysia di luar negara, khususnya pejabat dan Kediaman Kedutaan Besar Malaysia di Perancis.

“Dalam hal ini, pada 14 Januari 2020, Mahkamah Tinggi Sabah mengeluarkan keputusan yang berpihak kepada Kerajaan Malaysia antara lain, Malaysia tidak pernah mengetepikan kekebalan kedaulatan berhubung dengan perkara ini dan mengisytiharkan bahawa Kerajaan Malaysia mempunyai bidang kuasa eksklusif untuk mendengar sebarang pertikaian berhubung Perjanjian 1878.

“Walaupun terdapat keputusan Mahkamah Tinggi Sabah berkenaan perkara ini, Dr Gonzalo Stampa, penimbang tara dalam kes ini dan penuntut telah meneruskan prosiding timbang tara yang telah dimulakan dan mengeluarkan Preliminary Award
pada 25 Mei 2020 yang memutuskan bahawa beliau mempunyai bidang kuasa untuk mendengar tuntutan Penuntut, walaupun Malaysia tidak mengambil bahagian dalam prosiding timbang tara tersebut,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO turut menegaskan bahawa memelihara kedaulatan negara merupakan tanggungjawab dan amanah setiap rakyat Malaysia.

“Memelihara kedaulatan negara merupakan tanggungjawab dan amanah setiap rakyat Malaysia termasuk Ahli-Ahli Yang Berhormat yang berada dalam Dewan yang mulia ini. Penggubalan RUU Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing oleh Kerajaan Madani mencerminkan usaha Malaysia dalam menegakkan hak negara dan memastikan kedaulatan serta kekebalan Malaysia dilindungi dalam apa-apa prosiding di mahkamah.

“Dengan penggubalan RUU ini, kerajaan berharap negara-negara asing akan turut memberikan layanan salingan (reciprocal treatment) dalam menjamin kedaulatan Malaysia sekiranya terdapat tindakan mahkamah yang dimulakan terhadap Malaysia di negara-negara asing itu.

“Saya percaya RUU ini dapat bertindak sebagai perisai yang dapat melindungi kedaulatan sesebuah negara berdaulat termasuklah negara kita daripada tindakan oleh mana-mana pihak berniat jahat pada masa akan datang,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.