PDRM Terima 36 Laporan Polis Isu Stoking Kalimah Allah – Dr Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 18 Mac – Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima 36 laporan polis setakat ini terhadap isu penjualan stoking kaki tertera tulisan kalimah Allah di kedai rangkaian serbaneka KK Mart, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Tegasnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius isu berkenaan dan bertindak dengan melakukan pemeriksaan di semua premis KK Mart seluruh negara.

“KDN memandang serius isu berkaitan penjualan stoking kalimah Allah dan tindakan penguatkuasaan diambil dengan melaksanakan pemeriksaan di semua premis KK Mart di seluruh negara.

“Hasil pemeriksaan mendapati bahawa KK Mart telah menarik balik semua stoking berkenaan di semua cawangannya. Namun demikian, siasatan lanjut akan kita laksanakan terhadap pengurusan dan juga vendor-vendor yang terlibat bagi memastikan stoking ini tidak lagi berada di pasaran.

“Walaupun permohonan maaf telah pun dikemukakan oleh pihak KK Mart dan vendor terlibat, KDN akan meneruskan siasatan bagi menangani isu yang mencetuskan kegusaran awam ini. Jika disabitkan dengan kesalahan, pihak-pihak yang berkaitan boleh dikenakan hukuman iaitu denda sehingga RM20,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun; ataupun kedua-duanya sekali,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Menurutnya, KDN mengambil maklum mengenai keperluan untuk menambahbaik Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 agar ia seiring dengan peredaran zaman.

“Berkaitan yang disebut mengenai pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, seperti kita sedia maklum KDN bertanggungjawab terhadap kawal selia perlesenan mesin cetak penerbitan berdasarkan peruntukan akta ini.

“Tindakan kawal selia khususnya bagi mencegah penyebaran elemen, fahaman ataupun gerakan yang bercanggah dengan sosio-budaya norma masyarakat tempatan apatah lagi dari segi agama.

“Dalam melaksanakan tanggungjawab kawal selia ini, KDN ambil maklum tentang keperluan untuk penambahbaikan akta tersebut dan kita telah melaksanakan kajian untuk menambahbaik pada tahun 2022 dengan kerjasama universiti awam, pihak industri dan juga perbandingan penanda aras terhadap akta berkenaan dengan penerbitan-penerbitan di negara lain misalnya Singapura, Brunei serta United Kingdom,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa satu kertas siasatan telah dibuka untuk menyiasat dengan lebih lanjut mengenai isu penjualan stoking bertulisan kalimah Allah ini.

“PDRM pada ketika ini telah menerima sebanyak 36 laporan polis terhadap isu penjualan stoking bertulisan kalimah Allah di kedai rangkaian serbaneka KK Mart ini di Sunway, Selangor. Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah seksyen 294A Kanun Keseksaan dan seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

“Kertas siasatan masih lagi dalam seliaan polis dan kita akan sentiasa memantau supaya tidak berlaku lagi perkara-perkara seperti ini,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.