Kecuaian Melibatkan Isu Kalimah Allah Tidak Boleh Dipandang Remeh – Nurul Amal

KUALA LUMPUR, 18 Mac – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia berharap penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas dilaksanakan bagi memastikan tiada pihak membangkitkan isu kesucian agama Islam.

Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata demikian sebagai memberi respon beliau berkenaan isu penjualan stoking oleh kedai rangkaian serbaneka, KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Mart) yang tertera kalimah Allah seperti yang membangkitkan kemarahan umat Islam di negara ini.

“Puteri UMNO Malaysia menyeru agar undang-undang sedia ada dipertingkatkan dan tindakan yang lebih tegas perlu diambil supaya ia dapat dijadikan pengajaran pada masa hadapan.

“Penggubalan undang-undang yang lebih tegas serta tindakan yang lebih agresif dari pihak kementerian dan agensi kerajaan yang terlibat sudah pasti akan memberikan impak yang besar.

“Kecuaian seperti ini tidak boleh dipandang remeh kerana ia melibatkan kesucian kalimah Allah SWT yang merupakan isu yang sensitif di kalangan masyarakat Islam di negara ini. Sekiranya tindakan tegas tidak diambil, para peniaga akan meneruskan sikap sambil lewa dan perkara ini tidak boleh diterima sama sekali,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Terdahulu, perkara itu turut sama mendapat perhatian Pergerakan Pemuda UMNO apabila mereka mengetuai gerakan memboikot rangkaian kedai serbaneka KK Mart di seluruh negara sekiranya tiada permohonan maaf secara bertulis dibuat di semua 881 cawangannya.

Pemuda UMNO juga telah melakukan 13 laporan polis terhadap KK Mart, dan memohon siasatan dilakukan di bawah seksyen 298(A) kanun keseksaan bagi memberi pengajaran kepada pihak yang ingin bermain dengan isu menyentuh isu bangsa, agama dan institusi diraja (3R). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.