Isu Stoking Kalimah Allah Tidak Boleh Dianggap Remeh, Sensitiviti Agama Penting Dalam Masyarakat

KUALA LUMPUR, 18 Mac – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail menegaskan bahawa isu stoking yang memaparkan kalimah Allah tidak boleh dianggap remeh sama sekali.

Ini kerana katanya, bagi masyarakat Islam, penggunaan kalimah Allah mempunyai kesan mendalam terhadap nilai agama dan kepercayaan.

“Prinsip menghormati dan sensitiviti terhadap agama orang lain adalah penting dalam masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia. Tindakan yang tidak sensitif terhadap pegangan agama bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan dan perkara ini perlu diangkat dengan serius serta diberi perhatian yang sewajarnya.

“Tindakan memboikot KK Mart adalah sebagai bentuk protes bagi menunjukkan bahawa masyarakat tidak akan menerima tindakan yang dianggap tidak sensitif terhadap agama Islam.

“Boikot bukan sekadar tindakan individu, tetapi juga merupakan satu gerakan kolektif yang mempunyai impak besar dalam menyuarakan ketidakpuasan terhadap langkah yang bertentangan dengan nilai-nilai etika dan sensitiviti agama,” katanya.

Tambah beliau, betapa pentingnya memberi ruang kepada suara dan kebimbangan masyarakat Islam dalam setiap keputusan yang melibatkan penggunaan simbol agama.

“Dalam keadaan agama dan kepercayaan seseorang dihormati di Malaysia, hal ini adalah penting untuk memberi perhatian kepada kebimbangan dan keperluan mereka,” katanya lagi.

Pada masa yang sama Fariz yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang mendesak agar diadakan dialog secara terbuka bagi menyelesaikan perkara tersebut.

“Perlu diadakan dialog secara terbuka dan pendekatan yang bernas diambil kira dalam menyelesaikan isu ini. Berunding secara konstruktif dengan semua pihak yang terlibat, termasuk pengurusan KK Mart, adalah penting bagi mencari penyelesaian yang menghormati keperluan semua pihak.

“Dengan mengamalkan prinsip musyawarah, yakin isu sensitif seperti ini dapat diselesaikan dengan lebih efektif, sambil memperkukuhkan perpaduan dalam masyarakat,” tegasnya.

Terdahulu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh meminta semua premis cawangan KK Mart memasang kain rentang permohonan maaf kepada seluruh umat Islam atas tindakan mereka menjual stoking tertera kalimah Allah dalam tempoh dua hari atau berhadapan dengan kempen boikot sehingga kedai itu ditutup.

Penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di KK Mart Bandar Sunway, Selangor tular selepas gambar produk diimport dari China itu dimuat naik pengguna di media sosial sejak 13 Mac lalu. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit